Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Putrajaya.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses mengemas kini sistem untuk memastikan keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) dapat diketahui lebih awal.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh berharap usaha berkenaan akan melancarkan proses pengumuman keputusan undi kelak.

“Kita dalam proses update sistem kita yang ada kalau boleh seawal yang boleh kita berdoa diawalkan daripada masa lepas macam penamaan calon dapat kita awalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui meninjau proses undi awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas peratusan undi awal di enam buah negeri, menurut Abdul Ghani, Kedah mencatat peratusan tertinggi.

Anggota tentera beratur untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Sekolah Kebangsaan Kem Lapangan Terbang Sungai Layar, Kedah. Foto MOHD ADZLAN, 08 OGOS 2023.

“Kalau ikut sejam lepas (daripada bermulanya undi awal) Selangor 17 peratus, ada yang lebih tinggi, berbagai-bagai,” tambah beliau.

Dalam masa yang sama beliau menyifatkan proses undi awal setakat ini berjalan lancar.

Abdul Ghani berharap agar peratusan undi awal pada kali ini mengatasi peratusan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) iaitu 94.7 peratus.

SPRM menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi PRN di enam buah negeri iaitu Selangor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan- MalaysiaGazette