Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan meskipun Op Carilamat ditamatkan pada petang semalam

KUANTAN– Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pahang melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan menamatkan Operasi Mencari dan Menyelamat (carilamat) seorang tekong bot yang dikhuatiri hilang.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh berkata, tiada sebarang petunjuk baharu ditemui dalam pencarian yang sudah memasuki hari keempat, semalam.

Bot nelayan tempatan dinaiki mangsa karam di kedudukan 26.8 batu nautika di perairan Kuala Pahang.

“Carilamat ditamatkan pada pukul 7 malam semalam walau bagaimanapun, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan pemantauan berterusan melalui rondaan rutin operasi di lapangan dan pemakluman lanjut akan dibuat sekiranya terdapat petunjuk- petunjuk baharu yang mungkin menjurus kepada penemuan mangsa.

“Komuniti maritim sekitar turut dimaklumkan mengenai kehilangan mangsa dan diminta memaklumkan segera kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat sebarang maklumat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada kejadian 3 Ogos lalu, bot TFA 2422, yang dinaiki tiga kru termasuk tekong karam dipercayai dipukul ombak serta terbalik sekitar jam 2 pagi.

Dua mangsa yang terselamat sempat berpaut pada tong minyak dan hanyut kira-kira 14 batu nautika dari lokasi kejadian sebelum ditemui dan diselamatkan oleh bot nelayan tempatan berhampiran sekitar jam 9 pagi.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Mat Rifin Awang Kecik, 66, merupakan tekong bot.

Manakala mangsa yang selamat dikenali sebagai Sabudin Panoh, 51, dan Mohd Hafizi Awang Kecik, 30, merupakan warga negara Thailand.

Maritim Malaysia turut menyeru semua komuniti maritim agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan semasa menjalankan aktiviti di laut termasuk memakai jaket keselamatan dan menggunakan peranti Personal Locator Beacon (PLB).

Maritim Malaysia memohon kerjasama daripada komuniti maritim sekiranya berlaku sebarang insiden atau aktiviti yang mencurigakan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999.-MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast