KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang meluluskan peruntukan sehingga RM280,000 bagi membaiki kerosakan yang dialami Sekolah Menengah Agama (SMA) Al Maidah Addiniah, Padang Tengku, Lipis akibat ribut pada 5 Ogos lalu.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu diluluskan menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK), hari ini.
“Dalam kejadian sekitar jam 10 malam, kerosakan didapati telah berlaku pada bahagian bumbung sekolah, bilik mandi pelajar lelaki serta bumbung dan siling dapur dewan makan asrama,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook, hari ini.
Wan Rosdy berharap kerja-kerja pembaikan itu dapat dilakukan dengan segera bagi memberi keselesaan kepada para pelajar terutamanya yang tinggal di asrama. – MalaysiaGazette