Tertuduh, Lim Thean Seng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu secara merbahaya dan melulu hari ini.

KOTA TINGGI – ┬áSeorang pemandu kereta mewah Lamborghini Huracan Coupe bergelar ‘Datuk’ dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu kenderaan itu secara merbahaya bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Lim Thean Seng, 65, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu selepas ia dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Rashidah Baharom.

Mengikut kertas pertuduhan, pemandu kereta bernombor pendaftaran KV 2369 E didakwa memandu kenderaan terbabit di atas jalan raya dengan cara merbahaya kepada orang awam di Kilometer (KM) 54.4 higga KM55.5 Jalan Lebuhraya Senai – Desaru di sini, kira-kira jam 10 pagi, 29 Julai lalu.

Bagi perbuatan itu, lelaki terbabit didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akra Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut dihadapkan dengan pertuduhan pilihan iaitu memandu kenderaan mewah itu secara gopoh hingga mungkin menyebabkan bencana kepada seseorang yang lain di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Khairuddin Khalid menawarkan ikat jamin RM10,000 namun dibantah peguam tertuduh, Mohd Syakirin Syazwan Mohd Nayan.

Menurut Mohd Syakirin Syazwan, anak guamnya tidak mempunyai tujuan untuk melarikan diri memandangkan warga emas itu masih menjalani pemeriksaan atas pelbagai komplikasi penyakit setiap bulan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Tertuduh menghidap penyakit kencing manis dan pernah menjalani dua kali pembedahan jantung selain pernah mengalami strok.

“Dia juga seorang ahli perniagaan yang menyelia sendiri perniagaannya, jadi dia perlu selalu berada di premis perniagaannya,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 September depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.- MalaysiaGazette