Hussein Omar Khan

SHAH ALAM – Polis telah merakam keterangan peserta mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh beberapa hari yang lalu.

Bagaimanapun menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, sehingga kini penganjur himpunan berkenaan masih belum hadir ke balai untuk memberi keterangan.

“Dia janji akan hadir dalam masa sehari dua ini. Jumlah keterangan 22 orang, 13 dewasa, tiga kanak-kanak, tiga pegawai penjara dan bakinya pegawai polis,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Selangor.

Hussein berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan kepada pendakwa raya selepas proses merakam keterangan selesai.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kira-kira 100 ahli keluarga kepada 69 tahanan bawah  Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA yang melancarkan mogok lapar di hadapan Penjara Sungai Buloh sejak Isnin lalu.

Bantahan tersebut untuk menggesa kerajaan membebaskan semua tahanan dan memansuhkan undang-undang pencegahan.

Sementara itu, Hussein juga memaklumkan pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan melibatkan kumpulan pop rock The 1975 yang berkelakuan tidak senonoh di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Sepang pada Julai lalu.

Jelasnya, 28 keterangan dirakam  termasuk 17 pengadu selain 10 pihak Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara dan seorang penganjur.

“Hanya (ahli) kumpulan rock terbabit yang telah berlepas keluar negara pada masa kejadian belum dapat diambil keterangan.

“Kita akan serahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjut seawal mungkin,” katanya.- MalaysiaGazette