Hussein Omar Khan . Foto MOHD ADZLAN, 25 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Sindiket penipuan pusat panggilan pelaburan yang dikenali sebagai GCM Asia tumpas selepas Bahagian Risikan dan Operasi, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor menyerbu sebuah premis di Subang Jaya pada 7 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan dibuat berdasarkan beberapa laporan polis semenjak tahun lalu sehingga kini melibatkan kerugian mencecah RM2 juta.

Menurut beliau, ketika serbuan seramai 101 ahli sindiket ditangkap yang terdiri daripada pengurus, pengurus operasi, juruteknik bahagian teknologi maklumat dan pekerja khidmat pelanggan pusat panggilan tersebut.

“Yang ditangkap terdiri daripada 65 lelaki dan 36 perempuan semuanya warganegara tempatan berumur lingkungan 19 hingga 41 tahun,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Turut dirampas dalam serbuan adalah 94 komputer,  47 telefon pejabat, 96 telefon bimbit termasuk satu modem dan router.

Tambah Hussein, sindiket yang beroperasi lebih kurang setahun itu telah disenarai hitam oleh Bank Negara Malaysia sebelum ini namun tetap beroperasi menipu mangsa menggunakan media sosial dan rangkaian internet.

Jelasnya, majoriti ahli sindiket khususnya pekerja khidmat pelanggan tidak tahu syarikat berkenaan menjalankan kegiatan penipuan.

“Mereka rekrut ahli untuk bekerja tanpa mereka tahu apa mereka lakukan, mereka ada potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) gaji ditawarkan sekitar RM2,500 hingga RM3,000. Kebanyakan mereka baru tamat pelajaran.

“Operator bahagian pemasaran membuat panggilan kepada orang ramai melalui nombor telefon yang telah dibekalkan oleh ketua sindiket di dalam komputer melalui perisian. Tugas operator memberi penerangan dan meyakinkan mangsa supaya melabur dengan GCM Asia serta memberi tunjuk ajar bagaimana mendaftar dalam aplikasi,” katanya lagi.

Menurut beliau, semua akaun bank yang digunakan oleh sindiket berkenaan telah dibekukan  siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan 120 B Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan Seksyen 420 KK jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan atau denda atau ketiga-tiganya. Manakala 120B KK memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Bagaimanapun sehingga kini dalang sindiket masih dibelum ditangkap.

Sebagai rekod, sindiket penipuan GCM Asia menawarkan pekaj pelaburan dalam bidang forex, emas, minyak, saham dan lain-lain dengan jumlah minima USD 100.

Pelabur dijanjikan dengan pulangan lumayan dalam tempoh yang singkat.-MalaysiaGazette