Unit Forensik membuat pemeriksaan lanjut terhadap mayat selaki yang ditemui dalam sebuah teksi di Jalan Teluk Ketapang, Seberang Takir, Kuala Terengganu berhampiran Klinik Kesihatan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

KUALA TERENGGANU – Mayat seorang lelaki ditemui di bahagian tempat duduk belakang sebuah teksi miliknya di Jalan Keluk Ketapang dekat sini pada tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, mayat mangsa berusia 51 tahun itu berlumuran darah dengan beberapa kesan luka ditemui orang awam di dalam teksi.

ACP Abdul Rahim Md Din

Manakala suspek pula ditemui di tempat duduk pemandu bersama sebilah pisau di atas pelapik kaki kereta.

”Polis menerima makluman daripada orang awam berkenaan sebuah teksi berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 10.56 malam di tepi Klinik Kesihatan Seberang Takir.

”Hasil pemeriksaan pihak perubatan terhadap mangsa mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

”Suspek lelaki berusia 29 tahun pula ditahan oleh pihak polis dan akan dihadapkan ke mahkamah pagi Jumaat ini bagi permohonan reman,” katanya ketika ditemui media di lokasi insiden mayat mangsa ditemui pada tengah malam tadi.

Difahamkan suspek cuba menyamun mangsa dan berlaku pergelutan antara mereka.

Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Foresik Hospital Sultan Nur Zahirah  bagi tujuan bedah siasat dan suspek juga dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan.

Kes masih dalam siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette