KUANTAN – Penduduk Islam termasuk Orang Asli Pos Senderut di Lipis kini sudah mempunyai surau untuk beribadat dan menunaikan solat Jumaat mulai hari ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, mereka kini boleh berbuat demikian di Surau As Syakirin Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut.
“Alhamdulillah, saya memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana pada hari yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini, masyarakat Islam di kawasan Orang Asli Pos Senderut sudah boleh melaksanakan solat Jumaat di Surau As Syakirin SK Senderut bermula hari ini.
“Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat menjayakan usaha murni ini terutamanya Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Pahang,” katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang juga telah memberi kebenaran kepada surau berkenaan untuk melaksanakan solat Jumaat berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan.
“Insya-Allah, dakwah Islam akan kita teruskan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai ini dari semasa ke semasa agar lebih ramai lagi yang mendapat hidayah daripada Allah,” katanya. – MalaysiaGazette