Mimi Lana dan Syafiq Kyle batalkan pernikahan seminggu sebelum majlis

KUALA LUMPUR- Seminggu sebelum diijab kabulkan, pasangan Syafiq Kyle dan Mimi Lana membatalkan majlis pernikahan mereka yang sepatutnya berlangsung 18 Ogos ini.

Berita mengejutkan itu dimaklumkan wakil syarikat pengurusan aktres berkenaan, Iman Tang menerusi mesej kepada tetamu majlis berkenaan.

Majlis dijadualkan diadakan di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.

“Saya dan pihak pengurusan ingin mengumumkan bahawa majlis pernikahan dan resepsi Mimi Roziana dan Muhammad Syafiq Shamim yang dijadualkan 18 Ogos 2023 di Puncak Rimba, Bentong, Pahang telah dibatalkan atas beberapa perkara yang tidak dapat dielakkan.

“Mohon maaf atas segala kesulitan,” katanya.

Difahamkan majlis akad nikah dijadualkan berlangsung pada waktu pagi, disusuli majlis resepsi yang bakal berlangsung di lokasi sama sebelah malamnya.

Terdahulu, hubungan antara dua personaliti popular itu pernah terlerai pada Mei 2020 selepas lima tahun bercinta namun kembali bertaut selepas itu.

Ikatan mereka tampak semakin utuh apabila memuatnaik gambar yang dipercayai majlis merisik di media sosial pada 21 Januari lalu.

Malah sekitar Mac lalu Mimi atau nama sebenarnya, Mimi Rozaiana Zainal Abidin, 27, mendedahkan persiapan hari bahagia mereka sudah 50 peratus disempurnakan.

Apatah lagi bintang filem Pusaka itu baru saja diraikan teman terdekat dalam sebuah majlis ‘bachelorette’ yang penuh kemeriahan.- MalaysiaGazette