Ahmad Amzad Hashim melihat keputusan rasmi Parlimen Kuala Terengganu yang dipaparkan di skrin layar di Pusat Penjumlahan Rasmi di Dewan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu menyaksikan calon Datuk Ahmad Amzad Hashim menawan semula kerusi itu.

Setakat pukul 10 malam Ahmad Amzad mendahului 41,327  undi berbanding calon Pakatan Harapan (PH), Azan Ismail yang mendapat 14,566 undi.

Bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menang dengan majoriti 27,843.

PRK diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi Parlimen tersebut pada 27 Jun lepas.

Terdahulu UMNO Terengganu memfailkan petisyen pilihan raya bagi membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pada 3 Januari lalu.

Parlimen Kuala Terengganu melibatkan kawasan DUN Wakaf Mempelam, Bandar, Ladang dan Batu Buruk dengan 123, 575 pengundi berdaftar dan 44 pusat mengundi dibuka meliputi 222 saluran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast