Bakal pengantin, Abdul Qayyim Roslan sempat melunaskan tanggungjawab sebagai pengundi di SMK Seri Keramat sebelum bergegas ke Selayang untuk majlis akad nikah.

AMPANG – Bakal pengantin, Abdul Qayyim Roslan menggalas dua tanggungjawab besar hari ini iaitu mendirikan rumah tangga dan ‘membina’ pembangunan negeri.

Pemuda berusia 26 tahun itu yang dilihat agak ‘kalut’ menjelaskan, beliau mempunyai urusan lain lebih besar selepas mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

“Selesai mengundi saya perlu ke Selayang kerana saya ada majlis akad nikah jam 9.30 pagi ini dan sebab itu saya hadir awal di pusat mengundi,” katanya ketika ditemui jam 8.15 pagi di SMK Seri Keramat, di sini, hari ini.

Beliau yang menetap di Bukit Antarabangsa berkata, tanggungjawab sebagai seorang rakyat tidak boleh diambil remeh.

“Kita ada peranan yang besar, saya syukur proses pengundian berjalan lancar dan saya harap urusan pernikahan selepas ini juga berlangsung dengan baik,” ujarnya.

Shasha Saidin

Turut ditemui di pusat pengundian sama ialah selebriti, Shasha Saidin yang melaksanakan tanggungjawab itu kira-kira jam 9.15 pagi.

Dalam pada itu, calon termuda PRN kali ini, Melanie Ting Yi-Hlin mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) juga hadir meninjau proses pengundian di sekolah berkenaan jam 8.10 pagi tadi.

Melanie akan berentap tiga penjuru di N19 Bukit Antarabangsa membabitkan calon Pakatan Harapan, Mohd Kamri Kamaruddin dan calon Perikatan Nasional, Sasha Lyna Abdul Latif. – MalaysiaGazette