BATU PAHAT – Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengumpulkan 40 pelajar dari lapan universiti seluruh Indonesia bagi menjayakan program mobiliti antarabangsa.

Naib Canselor UTHM, Prof. Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim berkata, program kolaborasi bersama Ahli & Dosen Republik Indonesia (ADRI) itu melibatkan peserta daripada STT Dumai, Universitas Widya Gama Mahakam, Universitas Negeri Malang, Universitas Kadiri, Universitas Dr. Soetomo, STIH Manokwari, STKIP PGRI SITUBONDO dan STIKES Mutiara Mahakam.

Program mobilitI kendalian 21 ahli jawatankuasa yang diketuai Profesor Madya Dr. Affero Ismail itu diadakan bertujuan untuk mendedahkan peserta berkenaan asas metodologi dalam kajian.

Ia juga bertujuan untuk memperkenalkan adat dan budaya masyarakat Malaysia.

Menurut Dr. Affero, peserta didedahkan dengan kursus akademik seperti Metodologi Kajian dan Statistik yang melibatkan pembelajaran yang inovatif dan pratikal, serta kelas masakan Malaysia dan kelas tarian zapin.

“Peserta juga berpeluang menyertai program lawatan ke kampus, melawat Melaka, Program UNESCO World Youth Skill Day dan sesi motivasi bersama penceramah jemputan Dr. Soo Wincci sempena program bersama PERMATA,” jelas beliau.

Pelaksanaan program itu juga diadakan sebagai satu inisiatif dalam mengeratkan lagi hubungan antara dua negara nusantara melalui silang budaya dan cara hidup di Malaysia.

“Pihak kami mendapat maklum balas positif daripada peserta sekali gus membuktikan objektif dan matlamat program ini tercapai.

“Kami juga berharap para peserta dapat membawa pulang ilmu yang dipelajari di UTHM dan berkongsi pula dengan komuniti di Indonesia,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.-MalaysiaGazette