Keadaan seorang kanak-kanak yang didera.

JOHOR BAHRU – Pihak Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru sedang mengesan waris yang layak dan sesuai bagi memberi perlindungan sementara atau tetap kepada kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang dipercayai didera ibu dan rakannya di Pasir Gudang, Jumaat lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor Khairin-Nisa Ismail @ Md On berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut berhubung perkara itu bagi tujuan penilaian bagi memastikan waris tersebut layak menjaga kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata kanak-kanak itu kini menjalani rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas dibawa ke hospital itu, Jumaat.

“Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) juga telah menahan ibu kandung dan rakan kepada ibu kandung untuk tujuan siasatan pihak PDRM.

“Saya difahamkan bahawa kanak-kanak tersebut baru setahun bersama ibunya setelah berpindah daripada datuk dan neneknya di Pokok Sena, Kedah dan difahamkan ibu dan bapa mangsa telah bercerai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan kakaknya berusia sembilan tahun masih tinggal di Pokok Sena bersama datuk dan neneknya.

Khairin-Nisa turut mengucapkan terima kasih serta tahniah kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Johor, Pasukan Pelindung Kanak-Kanak dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) yang bekerjasama dan pantas bertindak bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut.

“Terima kasih juga kepada orang awam dan komuniti setempat yang peka dengan keadaan sekeliling dan terus melaporkan ke talian kecemasan.

“Saya menyeru masyarakat untuk terus prihatin dan peka dengan sekeliling bagi menghindari kes penderaan kanak-kanak daripada berulang dengan melaporkan kes penderaan ke Balai Polis, Pejabat Kebajikan Masyarakat yang terdekat serta ketua-ketua masyarakat dan komuniti,” katanya.

Selain itu, talian hotline iaitu “Talian Kasih 15999” yang beroperasi 24 jam sehari juga disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi memudahkan orang awam melaporkan kejadian penderaan, katanya.

Semalam, Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata ibu mangsa berusia 27 tahun dan rakan perempuannya warga asing berusia 30 tahun ditahan kerana disyaki mendera mangsa di sebuah rumah di Bandar Layang Kasa, Pasir Gudang.

Kamarul Zaman berkata ibu kanak-kanak itu direman enam hari manakala rakannya direman tujuh hari bagi membantu sisatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sebelum ini, tular beberapa rakaman video dan gambar menunjukkan orang awam menyerbu sebuah rumah, dipercayai bagi menyelamatkan kanak-kanak yang disyaki didera oleh ibu kandung dan seorang rakannya.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast