Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang dengan majoriti 1,617 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor.

HULU KLANG- Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan kemenangan beliau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang disebabkan pengundi lebih selesa memilih wakil rakyat yang dikenali dan mudah dihubungi.

Bekas Menteri Besar Selangor itu menang dengan majoriti 1,617 undi menewaskan pencabarnya Timbalan Juwairiyah Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH).

Azmin memperolehi 25,297 undi manakala Juwairiyahmendapat 23,980 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Khairul Arzawati Khalid di Pusat Perjumlahan Undi di Dewan Serbaguna Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU2, di sini, malam ini.

“Sudah tentu saya gembira dan bersyukur (kemenangan ini) kerana kita sedia maklumkan Hulu Kelang adalah kerusi terpanas dalam PRN Selangor kali ini.

“Kita juga dapat melihat gerak kerja kedua-dua pihak dipertingkatkan namun saya yakin dengan pengalaman dan prestasi yang sudah disampaikan.

“Walau macam mana getir pun di sini, mereka (pengundi) memberi sokongan kepada saya, terima kasih kepada semua,” katanya pada pemberita.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin seta keluarga meraikan kemenangan di DUN Hulu Kelang.

Terdahulu, Mohamed Azmin hadir bersama isterinya, Datin Seri Shamshida Taharin dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan bersama lebih 100 penyokong hadir ke dewan tersebut.

Tambah bekas Menteri Ha Ehwal Ekonomi itu, beliau berikrar akan melaksanakan tugasnya dengan sedaya upaya untuk memastikan cita-cita dan aspirasi rakyat di Hulu Kelang tercapai.

Beliau berpindah daripada kerusi asalnya di Bukit Antarabangsa yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum )(PRU) ke-14 di bawah tiket PKR sebelum keluar parti itu menerusi ‘Langkah Sheraton’ pada 2020.

Sebelum ini, Mohamed Azmin pernah menjadi ADUN DUN Hulu Kelang yang merupakan kerusi pertama disandangnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke -10 pada tahun 1999. – MalaysiaGazette