Shahir Adnan

KUALA LUMPUR – Keputusan pilihan raya bagi enam negeri yang seharusnya menjadi medan muhasabah setiap parti-parti politik yang bertanding.

Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM), Shahir Adnan berkata, walaupun keputusan secara dasarnya kekal status quo di mana tiga negeri kekal ditadbir Perikatan Nasional (BN) dan tiga lagi di bawah Pakatan Harapan dan Barisan Nasional (BN) namun parti yang menang tidak menang semua manakala yang kalah tidak kalah semua.

Beliau berkata, mesej jelas berhubung penguasaan kerusi-kerusi DAP di mana parti itu menang 97.9 peratus dan ia menunjukkan pengundi mereka tidak berpaling tadah meskipun DAP kini “berkongsi katil” bersama UMNO-BN.

“Kedua, penguasaan dominan Pas-PN di Kelantan, Terengganu dan Kedah hinggakan tiada pembangkang di Terengganu dan hanya beberapa kerusi di Kelantan dan Kedah. Ini menunjukkan pengundi majoriti Melayu mula beralih arah kepada Pas-PN sebagai parti orang Melayu.

“Ketiga, UMNO-BN berada dalam keadaan lebih teruk daripada PRU-14. Mereka hanya menang 19 kerusi dan kalah 89 kerusi dengan peratusan kemenangan sekadar 17.6 peratus.

“Daripada 19 kerusi itu, majoritinya  di Negeri Sembilan, kubu kuat mereka. Tiada kerusi diperoleh di Terengganu dan hanya satu kerusi di Kelantan.

“Ini menunjukkan mereka bukan lagi parti yang mewakili suara Melayu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Apap pun, Shahir bersyukur dan bangga dengan proses demokrasi yang subur di dalam negara ini malah PRN kali ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden memburukkan imej negara dan ini menunjukkan rakyat semakin matang berpolitik.

Dalam pada itu, Shahir berkata, walaupun PH mengekalkan pemerintahan di Selangor, PN berjaya menambah penguasaan melalui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jelasnya, strategi taktikal untuk beralih dari DUN Bukit Antarabangsa ke Hulu Kelang telah ‘menyelamatkan’ pemimpin PN itu.

Mohamed Azmin mungkin bakal menjadi Ketua Pembangkang Selangor bagi meneruskan usaha mengambil negeri itu daripada PH untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Seperti diramal, PN menang di kawasan majoriti Melayu dan luar bandar manakala PH kekal menang besar di kawasan majoriti pengundi Cina dan bandar.

“Pengecualian di beberapa kawasan dengan kemenangan tipis PN seperti di Hulu Kelang, Gombak Setia dan Taman Medan, keputusan semalam mengukuhkan penguasaan kumpulan Mohamed Azmin di dalam Bersatu Selangor seterusnya membuka lebaran baru penguasaan ‘team kartel’ Parti Bersatu,” ujarnya.

Justeru Shahir menegaskan, DPIM menyeru semua pihak bekerja untuk rakyat dan bukan sibuk merancang untuk menumbangkan kerajaan persekutuan yang ada pada hari ini.

“Hormatilah keputusan rakyat dan bertarunglah lagi lima tahun dari sekarang,” tambahnya. – MalaysiaGazette