Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 14 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon kepada mahkamah supaya Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah yang sedang mendengar kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) menarik diri.

Peguam yang mengetuai pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memfailkan permohonan itu pagi ini selepas mendapat arahan daripada anak guamnya.

Difahamkan permohonan itu dilakukan selepas kenyataan Collin pada bulan lepas bahawa beliau dan bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan pernah menjadi rakan kongsi di sebuah firma guaman. 

Jasmine merupakan bekas peguam 1MDB yang melarikan diri ke luar negara selepas terbongkarnya kes 1MDB.

“Andai Yang Arif benarkan permohonan kami untuk hakim menarik diri, kami mohon seluruh perbicaraan ini dibatalkan dan anak guam kami dibebaskan daripada pertuduhan.

“Pilihan kedua pula, perbicaraan ini didengar oleh hakim baharu, dan pilihan ketiga ialah supaya perbicaraan bersambung dan diteruskan oleh hakim Mahkamah Tinggi yang baharu,” katanya di hadapan Collin yang kini adalah Hakim Mahkamah Persekutuan.

Jasmine yang melarikan diri untuk beberapa tahun sebelum kembali ke Malaysia sebelum ditahan pihak berkuasa merupakan sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang dikaitkan dengan penyelewengan dana 1MDB.

Prosiding yang bersambung hari ini mendengar keterangan bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz. -MalaysiaGazette