KUANTAN – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menafikan poster berkaitan dirinya mempersoal pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan yang baharu.
”Saya menafikan sekeras-kerasnya satu poster yang tular di media sosial kononnya saya mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini.
”Bagi saya ini merupakan satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuma memecahbelahkan kerjasama antara Barisan Nasional dan juga Pakatan Harapan serta mencalar imej saya selaku Menteri Besar Pahang dan Naib Presiden UMNO.
”Cukup-cukuplah berpolitik 24 jam dan hentikanlah menyebar fitnah kebencian yang boleh merosakkan keharmonian dan perpaduan kita semua,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Malah katanya, gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di Pahang masih lagi kukuh dalam terus mentadbir Negeri Pahang sehingga hari ini.
Justeru Wan Rosdy menafikan sekeras-kerasnya hantaran berkaitan yang kini mencecah jampir 8,000 tontonan di Tik Tok dan media sosial lain.
Sebelum itu, hantaran yang dimuat naik di Tik Tok menggunakan akaun ’Orang Kedah’ itu mengatakan BN layak memimpin Negeri Sembilan.
Poster tersebut turut menyatalan Negeri Sembilan patut mengambil contoh perpaduan yang dirasai oleh rakyat Pahang melalui pentadbiran yang diketuai oleh BN.
”Tidak eloklah jika BN yang memenangi paling banyak kerusi di Negeri Sembilan dinafikan hak untuk menjadi Menteri Besar. Saya tidak teragak-agak untuk menukar komponen kerajaan negeri Pahang sekiranya itu berla,” tulis hantaran palsu itu.
Hantaran berbentuk video berdurasi 10 saat itu turut memuatkan poster Pengerusi Kebangsaan DAP, Lim Gang Eng dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada beberapa jam lalu. – MalaysiaGazette