Kredit : Fb Balai Bomba & Penyelamat Bandar Perda

BUKIT MERTAJAM – Dua lelaki maut manakala dua lagi rakan cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori lima tan di Jalan Song Ban Keng, Taman Sri Rambai di sini awal pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda Hirwan Hassan berkata mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu kereta Lim Jeng Yee, 33, dan penumpang di bahagian belakang Ong Zhong Xiang, 26.

Dua lagi rakan mereka masing-masing berusia 20-an yang juga penumpang di hadapan dan belakang mengalami cedera parah.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 3.07 pagi dan setiba di tempat kejadian, bomba mendapati empat penumpang dalam kereta terbabit tersepit.

“Pemeriksaan awal mendapati dua daripadanya telah meninggal dunia di lokasi kejadian manakala dua lagi berjaya diselamatkan.

“Pihak bomba menggunakan peralatan khas untuk membawa keluar dua lelaki yang maut dan dua mangsa yang cedera manakala pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Hirwan berkata kesemua mangsa berjaya dikeluarkan pada 4.10 pagi dan mereka yang maut serta cedera parah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

— BERNAMA