ARAU – Seorang lelaki warga tempatan dan seorang wanita warga Thailand ditahan kerana disyaki berperanan sebagai ‘tekong darat’ selepas cuba membawa masuk 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di kawasan Felda Chuping semalam.
Ketua Polis Daerah Arau, Supt Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batolian 2 Kulim mengesan jejak pejalan kaki PATI yang memasuki negara menerusi jalan tikus di sempadan Bukit Kayu Hitam-Thailand.
“Kesemua 17 orang PATI yang terdiri daripada 14 orang lelaki berumur 16 hingga 27 tahun dan tiga orang wanita berumur 28 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira 8.30 pagi di Felda Chuping iaitu kira-kira lima kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ahmad Mohsin berkata, selang 20 minit kemudian, PGA menahan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna kelabu berhampiran kawasan tangkapan itu yang dinaiki oleh dua suspek berkenaan.
“Suspek lelaki berusia 32 tahun dan wanita berumur 30 tahun itu bertindak cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan apabila kereta yang mereka naiki tersangkut di jalan mati,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Arau, hari ini.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan penyeludupan ketum dan kedua-dua mereka didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Katanya pihaknya turut merampas 16 telefon bimbit dan wang tunai dalam mata wang Ringgit Malaysia, Kyat Myanmar dan Bhat Thailand.
Ahmad Mohsin berkata, turut dirampas sebuah beg jenama Gucci, barang kemas dan sebuah kereta dengan jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM45,000.
“Kita tidak menolak kemungkinan bahawa kes ini melibatkan rangkaian ejen penyeludupan dari tiga buah negara yang bekerjasama iaitu Myanmar, Thailand dan Malaysia.
“Hasil siasatan awal mendapati bahawa ejen mengenakan bayaran RM10,000 bagi setiap PATI dan mereka memasang ejen di negara ini bagi mengutip bayaran bulanan daripada PATI apabila mendapat pekerjaan di Malaysia nanti,” katanya.
Beliau berkata, polis juga tidak menolak kemungkinan bahawa PATI terlibat mempunyai kenalan di Malaysia kerana sebahagian besarnya memiliki telefon bimbit dipercayai bagi menghubungi kenalan masing-masing apabila tiba di negara ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002), serta kesemua suspek dan PATI ditahan reman bermula semalam selama 15 hari. – Bernama