Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN – Pahang merancang membangunkan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) yang memberi fokus kepada industri mineral.

Ia selaras dengan Pelan Transformasi lndustri Mineral 2021-2030 yang mana kerajaan pusat bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai salah satu hab pembangunan industri mineral yang memiliki rantaian lengkap.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat dua komponen utama bagi pembangunan TTBL iaitu mewujudkan Akademi Mineral Malaysia Pahang (AMMP) dan Pusat Pemprosesan Mineral.

“Berdasarkan keperluan industri mineral negara, cadangan penubuhan AMMP di Lipis, adalah amat wajar dilaksanakan kerana ia menawarkan program sijil, latihan, kursus pendek, diploma dan perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral selain berfungsi sebagai One Stop Centre bagi maklumat pembangunan mineral untuk Pahang khasnya dan negara amnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebagai langkah proaktif, kampus sementara AMMP akan dimulakan di Lipis Centrepoint, Lipis.

Usaha ini, katanya, disambut baik Menteri Kanan Pelaburan, Perdagangan dan lndustri (MITI) yang turut terlibat dalam Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pahang Barat Plus dan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama lndustri.

“Kerajaan Negeri Pahang amat komited dalam usaha untuk mewujudkan sinergi pembangunan yang lebih menyeluruh bagi Negeri Pahang.

“Oleh itu, Pahang Skills Development Centre (PSDC) dilantik sebagai peneraju pembangunan AMMP dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) selaku perunding,” tambah Wan Rosdy.

Dalam pada itu, beliau berharap, langkah itu juga dapat membantu mengimbangi pembangunan ekonomi di seluruh Pahang, terutama dalam merapatkan jurang pembangunan antara Pahang Barat dan Pahang Timur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast