Calon Perikatan Nasional (PN) N24 Jeneri, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuang kertas undi pada hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15) Kedah di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya, Sik. Foto MOHD ADZLAN, 12 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Polis akan memanggil Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk memberi keterangan susulan tindakannya mempamerkan kertas undi pada 12 Ogos lalu.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain tarikh dan masa Muhammad Sanusi dipanggil akan dimaklumkan kemudian.

Ujar beliau, polis akan menyiasat kes berkenaan selaras dengan laporan yang diterima berhubung pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan peraturan yang berkaitan.

“Kita akan menyiasat kes itu. Bagi peluang polis siasat dulu, ambil keterangan dan semua (proses).

“Kita menyiasat bila ada laporan. Kalau bagi saya (kes berkenaan) boleh disiasat di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya di bawah Seksyen 5(1), Seksyen 26 (1)(g) Seksyen 19(1)(m) yang ini di bawah peraturan- peraturan pilihan raya juga Seksyen 19(7).

“Kita akan lihat menerusi seksyen-seksyen ini, kalau tidak ada kesalahan, tidak adalah,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baru, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Mes Pegawai Bukit Aman.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Menurut Razarudin, hasil laporan siasatan lengkap akan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara sebagai pihak yang berkuasa memutuskan sama ada Muhammad Sanusi layak didakwa atau sebaliknya.

“Bagi menuduh atau tidak bukan pihak kita tapi Peguam Negara dan kita juga mempunyai cadangan-cadangan bila kita hantar kepada Pejabat Peguam Negara dengan melihat semua keterangan yang ada dengan seksyen-seksyen yang bersesuaian.

“Saya bersama 10 pengarah dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM),  anggota dan pegawai tidak akan aniaya orang. Apa juga siasatan kita ke arah keterangan dan kita angkat kepada AGC bukan kita tambah keterangan yang tiada,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, polis juga akan menyiasat semua laporan berkenaan penyalahgunaan kad pengenalan individu lain semasa Pilihan Raya Negeri (PRN15) baru-baru ini.

“Masih dalam siasatan dan perkara ini telah berlaku setiap kali pilihan raya jadi siasatan akan diteruskan,” tambahnya.

Sebanyak 94 laporan polis diterima berhubung kesalahan salah guna kad pengenalan pada hari pembuangan undi sempena PRN di enam negeri pada Sabtu lalu.

Sebagai rekod, laporan tertinggi kesalahan itu di Selangor sebanyak 48 kes, diikuti Pulau Pinang (20), Negeri Sembilan (enam), Kelantan (dua) dan sembilan kes masing-masing di Kedah serta Terengganu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast