KUALA LUMPUR – Anggota penguat kuasa yang ditahan reman kerana disyaki meminta wang rasuah kira-kira RM30,000 sebagai balasan menukar pertuduhan kepada seorang individu yang melakukan kesalahan jenayah.

Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkata, suspek yang merupakan lelaki berusia lingkungan 30-an melakukan kesalahan berkenaan pada Oktober tahun lalu.

“Suspek ditahan kira-kira jam 3 petang semalam di SPRM Kedah ketika hadir memberi keterangan,” kata sumber berkenaan.

Katanya, perintah reman selama enam hari terhadap suspek dikeluarkan oleh Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor pagi tadi.

Terdahulu, SPRM membuat permohonan reman berkenaan di Mahkamah Majistret Alor Setar.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Rosley Mohamad Satar mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009. – MalaysiaGazette.