KUALA LUMPUR – Polis belum menerima permohonan notis merah Polis Antarabangsa (NTERPOL) daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan seorang peguam.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, sehingga kini permohonan yang diterimanya daripada SPRM adalah dalam bentuk lisan.

Beliau memberi jaminan akan bekerjasama dengan SPRM dalam perkara berkenaan.

“Notis merah ini akan sampai juga kepada kita (polis) nanti daripada SPRM. Bagaimanapun kita memang bekerjasama dengan SPRM jika ada maklumat kita akan salurkan kepada suruhanjaya itu,” katanya ketika sidang media.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Serah Terima Tugas kepada Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang baharu, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Mes Pegawai Bukit Aman di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Sebagai rekod, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata, pihaknya memohon notis merah terhadap dua individu yang dipercayai melarikan diri keluar negara.

Kedua-dua mereka Muhammad Adlan Berhan, 48, yang juga menantu Muhyiddin dan peguam, Mansoor Saat, 69, yang disiasat SPRM berkaitan kes penyelewengan projek pendaftaran pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.- MalaysiaGazette