ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz dijangka dilantik sebagai Exco kanan di Selangor.

Selain mewakili Barisan Nasional (BN), kemenangan Johan yang mendapat majoriti 3,014 undi walaupun menerima persaingan sengit dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) juga dianggap amat signifikan.

Pelantikan Johan dilihat wajar kerana kerjasama BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan sekarang.

Menurut sumber yang enggan namanya dikenali, setakat ini PKR telah menyerahkan lima nama untuk jawatan Exco.

Antara nama yang kemungkinan besar akan dapat menjawat jawatan Exco dalam kalangan PKR ialah Borhan Aman Shah, Mohd Najwan Halimi, Azmizam Zaman Huri, Fahmi Ngah dan Gunaraj George.

“Ada tiga terbaik yang akan terpilih dan jawatan Menteri Besar pula dalam kalangan pimpinan PKR. Kita yakin Datuk Seri Amirudin Shari akan kembali menerajui kerajaan negeri kali ini memandangkan rekod prestasi cemerlang beliau.

“DAP juga akan menyerahkan empat nama dengan seorang daripadanya dalam kalangan Melayu manakala Amanah dua calon dan satu daripada BN,” kata sumber itu kepada MalaysiaGazette.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Menteri Besar Selangor dijangka akan mengangkat sumpah selewat-lewatnya Isnin depan selepas kemenangan PH menang dan boleh membentuk kerajaan di negeri ini pada PRN baru-baru ini.

‘Kelewatan’ ini juga berikutan memberi ruang kepada Istana Selangor membuat persiapan sewajarnya sejurus selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kembali sihat dan selamat pulang ke tanah air selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara hari ini.

Sementara itu, difahamkan antara calon DAP yang akan tercalon sebagai Exco termasuklah mantan Speaker Selangor, Ng Sue Lim yang menang kerusi DUN Sekinchan buat penggal kelima.

Manakala bagi jawatan Speaker DUN Selangor pula, kemungkinan besar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San yang sudah diumum oleh DAP sebagai pertukaran kerusi DUN Dusun Tua kepada BN pada PRN lalu.

Selain itu, calon Melayu DAP yang dijangka menyandang jawatan Exco kemungkinan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) dan mantan Exco, Ng Sze Han (Kinrara) serta antara  Preakas Sampunathan (Kota Kemuning) atau Papparaidu Veraman (Banting).

Mantan Exco DAP yang popular, Ng Sze Han di DUN Kinrara.

Seorang sumber Amanah pula mendedahkan,  calon partinya kali ini hanya memenangi lima kerusi berbanding lapan sebelum ini manakala jumlah kerusi di bawah PKR menurun daripada 21 kepada 12.

“Kemungkinan besar salah satu jawatan Exco mereka akan diberikan kepada BN kali ini,” kata sumber itu.

Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR pula 12 kerusi, AMANAH lima kerusi manakala BN dua kerusi manakala PN menang 22 kerusi menerusi Bersatu sebanyak 12 kerusi manakala Pas mendapat 10 kerusi. – MalaysiaGazette