ACP Mohd Shokri Abdullah

KANGAR – Letupan kuat di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Padang Besar, dekat sini, awal pagi ini, disyaki berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri menggunakan paip besi, demikian siasatan awal polis di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah, berkata, pihaknya menerima maklumat pada kira-kira jam 7.30 pagi daripada pengawal keselamatan sekolah berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Pengawal keselamatan itu memaklumkan mendengar satu bunyi letupan kuat di hadapan luar pagar sekolah pada sekitar jam 4 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan tersebut, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar bersama pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bergegas ke  tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati bahan letupan tersebut dipercayai buatan sendiri menggunakan paip besi,” katanya.

Mohd Shokri menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Sebarang maklumat berkaitan keselamatan atau kejadian jenayah boleh disalurkan di talian hotline 60 4942222,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast