Mohamed Shahrin Ismail

SHAH ALAM – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Selangor mendesak Datuk Seri Amirudin Shari yang akan mengangkat sumpah Menteri Besar dalam waktu terdekat melihat secara serius isu lebih 200 Sekolah Agama (SA) yang dikatakan bakal ditutup.

Ketua Penerangan Putra negeri, Mohamed Shahrin Ismail berkata, pihaknya tidak boleh menerima perkara itu, apabila dimaklumkan sekumpulan NGO mengenai nasib yang bakal menimpa sekolah berkenaan.

Katanya, sebelum ini, Putra sudah dimaklumkan oleh mantan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Agama Islam Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd Zawawi Ahmad Mughni akan arahan pemutihan SA (Institusi Tahfiz) Persendirian Negeri Selangor melibatkan 416 sekolah.

“Bagaimana dengan nasib lebih 40,000 anak kita yang belajar di SA ini? Pengurusan sekolah mereka dikatakan telah diarahkan tutup oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atas alasan tidak menepati garis panduan dan operasi (SOP) berkaitan premis perniagaan.

“Kami minta dan desak Menteri Besar Selangor campur tangan dalam isu ini. Tidak wajar anak-anak ini dinafikan hak mereka untuk belajar di sekolah agama.

“Sedangkan perkara ini termaktub dalam perlembagaan iaitu Islam agama rasmi Persekutuan dan menjadi kewajipan kerajaan negeri membantu sekiranya institusi pengajian tersebut mempunyai masalah dari segi kewangan ataupun pengurusan,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini hari ini.

Semalam, gabungan NGO Islam Selangor dan Negeri Sembilan menyuarakan rasa bimbang terhadap isu amaran penutupan sekolah agama di negeri itu.

Pengerusi Sekretariat NGO berkenaan, Datuk Nazilah Idris dilaporkan berkata, kira-kira 200 sekolah agama di Selangor didakwa mendapat surat amaran untuk keluar dari premis perniagaan.

Apa yang berlaku di Selangor hari ini, lebih 200 sekolah agama rakyat dinafikan apabila mereka diberikan surat amaran untuk keluar daripada premis perniagaan yang disewanya.

Tegas Mohamed Shahrin, peruntukan melalui Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor bagi 2009-2023 tidak mencukupi, yang mana sebanyak RM26.5 juta disalurkan awal tahun ini kepada enam kategori termasuk sekolah agama rakyat melalui keseluruhan sekolah yang menerima bantuan.

Persoalannya, kata beliau, apa akibat penutupan SA yang melahirkan 40,000 pelajar Islam yang akan terjejas pembelajaran mereka dan kesan kepada institusi pengajian terlibat.

“Kami juga mendesak pihak berkenaan menyata dan mendedahkan secara jelas serta terperinci berhubung alasan penutupan sekolah ini.

“Kita juga hendakkan satu penyelesaian dan tindakan segera daripada Menteri Besar supaya isu dapat diselesaikan.

“Sebagai negeri maju yang mempunyai sumber ekonomi dan kewangan yang kukuh, isu membabitkan kekurangan kelengkapan atau pun tidak menepati SOP bukan alasan untuk menutup sekolah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, sewajarnya SA dibantu daripada pelbagai aspek demi memartabatkan Islam serta menjunjung perlembagaan negara. – MalaysiaGazette