KLANG – Perasaan sedih menyelubungi seorang ibu apabila kehilangan anak bongsu yang juga merupakan juruterbang pesawat yang terhempas di Elmina, Shah Alam dekat sini petang tadi.
Juruterbang itu, Shahrul Kamal Roslan, 41, bersama seorang lagi rakan sejawatan, Heikal Aras Abdul Azim serta enam lagi penumpang maut dalam nahas menyayat hati itu.
Mahanom Ismail, 67, yang juga seorang guru masih masih dalam keadaan terkejut kerana kehilangan anak lelakinya ketika ditemui di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah malam ini.
Kata Mahanom, kali terakhir arwah yang mesra dengan panggilan adik itu bercakap dengannya pada 25 hari lalu.
“Saya tidak sihat dan terpaksa menjalani pembedahan usus dan hempedu, berada di hospital serta baharu sahaja keluar hospital.
“Kali terakhir dan kata-kata terakhir arwah ialah;‘Adik sayang mama’. Sehingga saat ini ia masih lagi terngiang-ngiang dalam telinga saya ini.
“Memang tidak sangka dan tidak percaya. Anak saya duduk di Bukit Jelotung. Saya dan suami di Wangsa Melawati. Sepatutnya arwah bawa empat anaknya datang ke rumah selepas saya kembali sihat,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Mahanom berkata, anaknya yang sebelum ini bekerja dengan Malaysia Airlines kemudian menyertai Etihad sebelum kehilangan kerja ketika pandemik Covid-19.
Anaknya kemudian mendapat tawaran bekerja sebagai juruterbang jet peribadi.
“Arwah seorang yang periang, baik. Dia ada bercakap dengan ayahnya yang juga bekas juruterbang Malaysia Airlines. Selalu mereka bercakap tentang minat mereka yang suka terbang. Semalam arwah ada menelefon ayahnya dan memaklumkan akan ke Langkawi,” ujarnya.
Sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Datuk Kapten Norazman Mahmud, juruterbang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas disahkan mempunyai pengalaman luas.
Malah Kapten Norazman sendiri mengenali juruterbang berkenaan secara peribadi.
“Dia (Shahrul Kamal) mempunyai kemahiran dan pengalaman. Lesen penerbangannya juga valid,” katanya dalam sidang akhbar di Lapangan Terbang Subang dekat sini hari ini.
Ditanya mengenai tindakan terhadap Jet Valet Sdn Bhd (Jet Valet), beliau berkata, CAAM ketika ini akan menunggu siasatan menyeluruh terhadap nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) sebelum mengambil sebarang tindakan. -MalaysiaGazette