SHAH ALAM – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Bukit Kayangan di sini, petang ini.
Pemangku Menteri Besar itu dilihat memasuki pintu utama Istana Bukit Kayangan dengan menaiki kenderaan rasmi berwarna hitam tepat jam 2.34 petang tadi.
Bagaimanapun, tujuan utama beliau menghadap baginda masih belum dapat dipastikan lagi.
Dalam pada itu,pengamal media mula berkumpul di pekarangan luar Istana Bukit Kayangan seawal pukul 2 petang untuk mengikuti perkembangan lanjut hasil pertemuan Ahli Parlimen Gombak tersebut.
Sebelum ini media melaporkan Amirudin akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor untuk kerajaan negeri bagi penggal ke-15 di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pada Sabtu ini.
Difahamkan tarikh yang dicadangkan untuk istiadat mengangkat sumpah MB Selangor adalah pada hari ini tetapi terpaksa ditunda memandangkan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah baru selamat berangkat pulang dari London, United Kingdom (UK).
Selain itu ada juga maklumat mengatakan upacara Amirudin mengangkat sumpah sebagai MB Selangor dijangkakan pada Isnin ini.
Dalam Pilihan Raya Negeri Selangor 12 Ogos lalu, Gabungan kerajaan Perpaduan Pakatan Harapan-Barisan Nasional di negeri itu memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri untuk membentuk kerajaan negeri semula pada kali ini.-MalaysiaGazette