KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini akan membuat keputusan sama ada hakim yang sedang mendengar kes rasuah dan pengubahan wang haram dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Collin Lawrence Sequerah akan menarik diri atau meneruskan prosiding esok.
Collin yang membuat ketetapan itu selepas mendengar hujah panjang lebar kedua-dua belah pihak berkata, beliau akan menyampaikan keputusan sama ada akan menarik diri seperti di mohon pembelaan atau sebaliknya.
Awal bulan lepas, Collin yang kini dinaikkan pangkat daripada Hakim Mahkamah Tinggi kepada Hakim Mahkamah Persekutuan mendedahkan beliau pernah menjadi rakan kongsi kepada bekas peguam syarikat pelaburan strategik itu, Jasmine Loo Ai Swan dalam firma guaman Zain & Co.
Sejurus selepas pendedahan itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang berdepan dengan pertuduhan menyeweleng dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion itu telah memohon supaya hakim itu menarik diri daripada terus mendengar kes tersebut.
Najib juga telah memberi alternatif dalam permohonannya iaitu perbicaraan ini didengar oleh hakim baharu dan pilihan ketiga, supaya perbicaraan bersambung dan diteruskan oleh hakim mahkamah tinggi baharu.
Beliau juga memohon supaya keseluruhan perbicaraan itu dibatalkan dan bekas Ahli Parlimen Pekan itu dibebaskan daripada tuduhan.
Dalam prosiding pada 26 Julai lalu, Sequerah sendiri mendedahkan bahawa Jasmine pernah menjadi rakan kongsi (di firma Zain & Co), ketika beliau menjadi peguam 10 hingga 15 tahun lalu.
Isu itu dibangkitkan apabila Muhammad Shafee ingin mendapat pengesahan sama ada Jasmine akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
Jasmine dikatakan salah seorang sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low yang turut terbabit dalam skandal kewangan 1MDB, dan disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki.
Bloomberg sebelum ini melaporkan, penyiasat Switzerland yang menjalankan siasatan jenayah berhubung skandal 1MDB, Jasmine berkaitan pemindahan AS$700 juta yang didakwa dilakukan secara haram. -MalaysiaGazette