MERSING – Empat kru warga Indonesia ditemukan hanyut pada kedudukan empat batu nautika barat Pulau Pemanggil di sini, Isnin lepas, selepas kapal kargo dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin utama.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Mersing Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata mangsa yang dikenali sebagai Darman, 42, Murhairi, 57, Agus Mustafa, 25, dan Suhandri, 22, nekad untuk terjun daripada kapal itu, sebelum hanyut sejauh 110 batu nautika dari perairan Tanjung Pinang, Indonesia.
Beliau berkata terdahulu, pihaknya menerima maklumat terdapat satu kapal mencurigakan hanyut berhampiran perairan pulau berkenaan dan bot Perkasa 44 yang sedang melakukan rondaan telah diarah untuk melakukan pemantauan dan pemeriksaan.
“Susulan itu, kita segera mengkoordinasikan Op Carilamat dengan mengarahkan bot ronda ke lokasi mangsa diselamatkan serta menghubungi komuniti maritim yang berada berdekatan untuk memberi bantuan awal kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Suhaizan berkata kesemua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin Mersing dan diserahkan kepada pihak Zon Maritim Mersing bagi tindakan selanjutnya.
“Kita juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada komuniti maritim khasnya penduduk pulau yang bertindak pantas dalam memberikan bantuan awal kepada mangsa terlibat,” katanya.
— BERNAMA