MELAKA – Pernah gagal dalam perkahwinan pertamanya 10 tahun lalu menjadi pembakar semangat wanita ini membina perniagaannya sendiri untuk menampung kehidupan bersama empat anaknya.
Biarpun tidak memiliki sebarang sijil kemahiran, Rejamaiyah Hassan, 39, membuktikan tidak apa yang mustahil dicapai selagi mempunyai kesungguhan dan minat dalam setiap apa yang diusahakan.
Hanya berbekalkan pengalaman tiga tahun mengambil upah menjahit baju korporat di Felda Serting, Jempol, Negeri Sembilan, siapa sangka ibu kepada empat anak ini kini mempunyai koleksi pakaiannya sendiri.
“Kegagalan perkahwinan pertama pada 2013 membuatkan saya sedar perlu berdikari sendiri untuk membesarkan anak sebelum mengambil keputusan untuk pindah ke Melaka.
“Waktu itu, saya cuba cari kerja namun sukar kerana berkelulusan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan hanya berpengalaman sebagai tukang jahit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Katil di sini hari ini.
Tambahnya yang mesra disapa Deja, dari situ dia mendapat idea untuk membuka perniagaannya sendiri, Sewa Baju Murah Deja yang menyediakan khidmat menyewa pakaian untuk majlis-majlis keraian dijahitnya sendiri.
“Saya menggunakan simpanan sebagai modal permulaan membeli kain dari pembekal tempatan untuk menghasilkan 100 pasang pakaian bertemakan Bollywood dan makan malam selepas melihat ia mendapat permintaan yang tinggi.
“Alhamdulillah, selepas lima tahun perniagaan sewa baju semakin baik mungkin kerana harganya yang murah.
“Semua kain yang digunakan saya ditempah dari India sebelum menjahitnya sendiri,” katanya yang membina perkahwinan kedua empat tahun lalu.
Menurut Deja, kini dia mempunyai lebih 500 pasang pakaian koleksi sendiri sambil dibantu suami dan empat anaknya berusia sembilan hingga 21 tahun boleh selain turut menerima tempahan baju mengikut pilihan pelanggan.
Harga sewaan dikenakan adalah antara RM60 hingga RM300 bergantung kepada jenis pakaian dan aksesori diperlukan bermula dari topi hingga kasut.
Orang ramai yang berminat menggunakan perkhidmatannya boleh menghubungi Deja di talian 014-9908847. – MalaysiaGazette