Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memotong riben sebagai gimik perasmian majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani Serta Pusat Penjana Madani Jalan Tasik Selatan 2A, Desa Tasik, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Banyak pihak yang marah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan amalan rasuah berleluasa dalam projek perumahan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, isu yang dibangkitkan adalah perkara yang telah berlanjutan sejak dahulu dan perlu dihentikan.

“Saya faham ramai yang marahkan saya bila sebut hal ini tapi semua orang tahu, tanyalah pemaju di Wilayah Persekutuan adakah saya betul atau salah dan adakah saya melebih-lebih atau beritahu perkara sebenar.

“Tanpa terkecuali semua kata ya, ini telah menjadi amalan dan kita telah lakukan. Sekarang saya kata kita perlu menghentikankan semua ini. Pulangan yang RM10 juta, RM15 juta yang diberikan sebagai komisen dipulangkan kepada rakyat, itu yang saya minta rakyat faham,” ujar Anwar.

Beliau berkata demikian dalam ucapan Majlis Pecah Tanah Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani serta Pusat Penjaja Madani di Desa Tasik di sini hari ini.

Serentak itu beliau mahu amalan meminta dan memberi komisen yang disifatkan sebagai rasuah dalam mana-mana pelaksanaan projek pembangunan termasuk perumahan perlu dihentikan segera.

Ini termasuk pemberian komisen kepada mana-mana menteri atau parti politik yang tidak seharusnya berlaku.

“Memang pada peringkat awal apabila saya ambil alih tanggungjawab Wilayah Persekutuan ini… saya memang menghentikan projek-projek baharu kerana saya tidak mahu meneruskan amalan-amalan lama.

“Di mana tiap kali diubah suai plot ratio atau kelulusan itu ada hubungan dan habuan politik, ini amalan jijik yang merosakkan… dan rasuah ini mesti dihentikan… sebab itu saya tangguhkan peringkat awal.

“Apabila kita dah siapkan struktur dan kerangka Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, maka kita harus teruskan dan tidak ada alasan untuk perlahankan tahap kelulusannya sebaik saja memenuhi syarat,” katanya.

Sementara itu Anwar mahu Dewan Bandaraya Kuala LUmpur (DBKL) menitikberatkan tiga perkara dalam pembangunan perumahan iaitu keselesaan hidup, kehijauan kawasan dan kemudahan sukan dan perumahan rakyat, warung serta gerai madani untuk rakyat bias

Sejumlah 1,010 unit Residensi Wilayah dan Residensi Prihatin Madani mampu milik ditawarkan kepada yang berkelayakan di atas tapak seluas 3.4 ekar.

Residensi Wilayah melibatkan pembangunan 910 unit rumah dengan keluasa 902 kaki persegi jenis satu dan 908 kaki persegi bagi jenis 2 dengan harga RM300,000.

Rumah mampu milik itu ditawar kepada golongan 21 tahun ke atas dengan pendapatan kasar bawa RM10,000 (bujang) dan RM15,000 (berkahwin) dengan syarat dilahir atau bekerja dan menetap di Kuala Lumpur.

Manakala Residensi Prihatin Madani menawarkan 100 unit rumah dengan keluasan 902 kaki persegi dengan harga RM200,000.

Unit-unit tersebut ditawarkan kepada kumpulan sasar M40 dan ke bawah yang belum memiliki rumah.

Sementara Pusat Penjaja Madani dilengkapi dengan kemudahan letak kereta, surau dan ruang makan luas berkonsepkan terbuka.-MalaysiaGazette

 

 

1 Komen

  1. ANWAR IBRAHIM ni sembang masih seperti mudanya… jangan nak kata dari dulu-dulu rakyat nak sekarang SEKARANG… banyak sangat BUKU SASTERA… ni purata umur MUDA majority.. jangan jonkang-jongkit sangat. cerita LAWAK kat YouTube banyak

Comments are closed.