SHAH ALAM – Operasi kerja-kerja pencarian saki baki cebisan mayat dan pembersihan bangkai pesawat ringan yang terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park Seksyen U16, di sini, semalam, telah 95 peratus selesai.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, kini Biro Penyiasatan Kemalangan Udara, forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia sedang melakukan pembersihan terakhir, selain mengesan kemungkinan baki cebisan mayat mangsa di lokasi nahas.
“Hanya tinggal lagi lima peratus pencarian yang kini diteruskan secara bersungguh-sungguh oleh semua pasukan bersepadu,” katanya dalam sidang media di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Semalam sebuah pesawat Beechcraft 390 Premier 1 yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.
Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia.
Menurut Razarudin, operasi pencarian itu melibatkan kawasan seluas kira-kira 11,000 meter persegi dan jika proses tersebut berjalan lancar ia dijangka selesai tengah hari ini.
Sementara itu, Razarudin berkata, pasukan penyiasat menemui 21 barang milik mangsa, antaranya jam tangan dan tali pinggang dan telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu beliau memberitahu, seramai 22 waris atau ahli keluarga mangsa telah diambil sampel DNA di Balai Polis Klang, Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan sejak proses itu dimulakan tengah malam tadi.
“Selepas ini kita akan memulakan proses pemadanan sampel DNA ahli keluarga yang diperolehi itu dengan mayat mangsa bagi membolehkan proses pengecaman identiti sebenar mangsa dapat ditentukan semasa proses bedah siasat oleh patalogi di Hospital Klang,” ujarnya. – MalaysiaGazette