Pengurus projek dituduh di Mahkamah Sesyen Kuantan kerana melombong secara haram

KUANTAN – Seorang Pengurus projek pembangunan berdepan hukuman denda sehingga RM500,000 atas pertuduhan menjalankan perlombongan mineral jenis silika secara haram pada 21 Mei lepas.

Bagaimanapun, tertuduh, Teh Tze Jin, 45 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya di hadapan Hakim Azman Mustapha di Mahkamah Sesyen 1, di sini hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di kawasan bersebelahan Tapak Projek PR1MA, Sungai Baging, Mukim Sungai Karang, di sini pada kira-kira jam 4.10 petang.

Berdasarkan fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan pada tarikh tersebut dan menyita sebuah jentera yang terlibat bagi mengeluarkan pasir silika secara haram.

Tertuduh juga dipercayai mengeluarkan arahan kepada pemandu jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir silika di kawasan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 yang membolehkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa UPNP, Taqiuddin Azizan dan Hasmadi Mahyudin, manakala tertuduh diwakili Peguam Rusnizam Abdullah.

Taqiuddin pada mulanya memohon agar ikat jamin sebanyak RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh, bagaimanapun Rusnizam berhujah bahawa anak guamnya itu perlu menyara isteri yang tidak bekerja serta empat anak mereka yang masih kecil dengan gaji sebanyak RM5,000.

Mahkamah kemudian membenarkan Teh Tze Jin diikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM20,000 bersama seorang penjamin selain syarat tambahan passport tertuduh perlu diserahkan kepada Mahkamah sehingga selesai kes.

Kes akan disebut semula pada 8 September depan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.