KUALA LUMPUR – Slovenia merasmikan konsulatnya di Kuala Lumpur pada Khamis, menandakan perwakilan diplomatik pertama di negara ini selepas 31 tahun menjalin hubungan diplomatik dengan Malaysia.
Duta Besarnya ke Malaysia, Marko Ham berkata, penubuhan konsulat itu melambangkan satu peristiwa penting dalam hubungan antara kedua-dua negara.
Sebelum ini, Slovenia telah menjalinkan kerjasama dengan Malaysia menerusi kedutaannya di Canberra, Australia.
“Tidak ramai rakyat Slovenia kini menetap dan bekerja di sini, namun, saya yakin bahawa hubungan perdagangan dua hala, ekonomi, komersial dan pelaburan mempunyai banyak potensi dan akan beransur-ansur berkembang dengan kehadiran kami di sini,” katanya dalam satu majlis di sini.
Ham menyampaikan watikah pelantikannya kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pagi tadi.
Duta itu berkata, perdagangan dua hala antara Slovenia dan Malaysia pada masa ini bernilai kira-kira US$50 juta, memandangkan potensi itu, sudah pasti terdapat peluang untuk perniagaan Slovenia bekerja serta melabur di sini dan sebaliknya.
Kedua-dua negara turut bekerjasama dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meliputi beberapa isu pelbagai hala untuk menyelesaikan konflik, menambah baik hak asasi manusia dan menggalakkan pembangunan mampan.
“Slovenia berharap untuk bekerjasama dengan Malaysia semasa keahlian tidak tetap Slovenia di Majlis Keselamatan PBB pada 2024/2025,” katanya.
Ham berkata, Slovenia dan Malaysia berkongsi visi yang sama tentang wilayah Indo-Pasifik yang terbuka, stabil dan makmur, menyaksikan kedaulatan, peraturan serta norma antarabangsa dihormati.
Slovenia berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan negara anggota ASEAN, selaras dengan Strategi Kesatuan Eropah (EU) untuk Indo-Pasifik yang menekankan kepentingan laluan maritim Asia bagi eksport.
Beliau juga mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia melawat Slovenia, sambil menyatakan bahawa kedua-dua negara menawarkan pengalaman pelancongan yang mengagumkan.
“Tahun lalu kita menyambut ulang tahun ke-30 hubungan diplomatik, justeru saya melihat konsulat di sini di Kuala Lumpur sebagai permulaan era baharu, menggalakkan kerjasama antara negara yang indah ini dan Slovenia,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Chan Foong Hin dan Konsul Kehormat Slovenia ke Malaysia Datuk Seri Chan Kong Yew. – Bernama