Irwan Najib
Nooryana Najwa Najib

KUALA LUMPUR – Nooryana Najwa Najib menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) menggugurkan enam pertuduhan terhadap bapanya, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata, seawal 2019, pasukan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas didakwa tahu bahawa pertuduhan terhadap Najib dan Mohd Irwan berkaitan pembayaran berjumlah RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) tidak mempunyai asas.

Nooryana memberitahu, kes itu langsung tidak mencapai piawaian minimum untuk pendakwaan di mahkamah seperti yang didedahkan melalui memo dalaman AGC yang dibocorkan baru-baru ini.

“Memo dalaman setebal 12 muka surat itu menerangkan dengan terperinci mengapa mereka langsung tiada kes dan ayahanda saya dengan Tan Sri Irwan tidak melakukan sebarang kesalahan dalam penyelesaian IPIC.

“Apa yang didedahkan dalam memo yang dibocorkan itu amat mengejutkan,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Semalam, Peguam Negara, Tan Sri Idris Harun berkata, AGC sedang menyiasat dakwaan kebocoran dokumen berkaitan pertuduhan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion dana kerajaan membabitkan pembayaran kepada IPIC.

Nooryana menambah, memo dalaman itu juga mendedahkan bahawa AGC telah menemu bual seramai 138 saksi dan tiada satu pun daripada kenyataan mereka yang memihak kepada pendakwa raya.

Beliau juga mendapati bahawa Najib telah didakwa untuk kes tersebut pada Oktober 2018 dan ia tidak pernah didengar sejak itu.

“Pihak pendakwa telah berulang kali meminta mahkamah menangguhkan kes ini.

“Sejak didakwa, ayahanda saya telah menghantar dua surat representasi meminta pertuduhan digugurkan yang pertama kalinya ditolak pada 2021,” jelasnya.

Nooryana mendakwa, ia adalah satu penyalahgunaan sistem mahkamah dan ketidakadilan yang besar kepada Najib yang terpaksa menanggung kos guaman selain menjejaskan reputasinya sepanjang lima tahun lalu.

“Jawapan Tommy bahawa beliau tidak ingat memo dalaman daripada pasukan pendakwaan beliau ketika itu juga merupakan satu penghinaan besar kepada seluruh sistem keadilan dan kebijaksanaan orang awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast