KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Mohd Rafiq Abdullah menyifatkan kerajaan yang baik adalah kerajaan yang mampu bersikap adil kepada semua wakil rakyat.
Beliau berkata, isu peruntukan yang selama ini tidak diberi secara adil kepada wakil rakyat pembangkang menjadi antara faktor politik di Malaysia tidak berhenti.
“Apabila bercakap soal berkhidmat, sukar untuk wakil rakyat nak berkhidmat kalau peruntukan yang diberi tidak secukupnya atau berlaku double standard.
“Kita tidak boleh lagi mengamalkan politik balas dendam yamg mana siapa kalah (pembangkang) tidak diberi peruntukan,” katanya ketika menjadi panel program SKOP MG malam tadi.
Dengan tajuk ‘YB, Sudah-Sudahlah Politik, Masa Untuk Kerja!’ Mohd Rafiq berkata, politik tanah air sekarang sudah banyak berubah.
“Kita tengok, di Perak pun sudah mula diberikan peruntukan kepada ADUN-ADUN pembangkang. Insya-Allah, Kedah dan Kelantan juga akan melakukan perkara sama.
“Kita kena ingat, kalau berterusan politik balas dendam ini, yang menjadi mangsa adalah rakyat.
“Rakyat telah buat keputusan memilih wakil rakyat di kawasan masing-masing, janganlah ada sikap begitu lagi,” katanya.
Dengan mengambil contoh di Selangor katanya, pembentukan Kerajaan negeri akan berlaku tidak lama lagi dan rakyat memerhati apakah bentuk dan dasar yang menjadi keutamaan.
“Sukarlah buat ADUN pembangkang jika tiada peruntukan sama adil diberikan terus.
“Sebelum ini, kita dengar ada peruntukan kepada rakyat tetapi bukan kepada ADUN sebaliknya kepada penyelaras.
“Ini satu dilema kepada ADUN yang mana kita sebagai wakil rakyat ini yang berhadapan dengan rakyat setiap hari. Gaji kami habis kepada rakyat sedangkan peruntukan sepatutnya kepada mereka tidak ada pada kami,” ujarnya lagi.
Jelasnya, tugas ADUN adalah cuba menyelesaikan masalah rakyat.
“Gaji wakil rakyat pun tak cukup untuk tampung bantu rakyat dan terpaksa mencari sumber-sumber lain sedangkan kami ini menang tetapi penyeleras yang dapat segala peruntukan untuk jalankan aktiviti-aktiviti dalam Kawasan.
“Ini sesuatu yang sangat tidak sihat dan disebabkan inilah politik di negara kita tidak berhenti-henti.
“Tetapi jika perkara ini dihentikan dan menghormati mandat rakyat, semua akan baik sahaja.
“Kalau semua ADUN dapat peruntukan sama adil, mereka tidak ada masa berpolitik kerana khidmat bakti mereka memang untuk rakyat.
“Kalau perkara itu tidak berlaku, bersedialah 22 ADUN pembangkang yang akan bersuara secara lantang menentang dalam Dewan Undangan Negeri,” katanya lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri Selangor lalu, Perikatan Nasional memenangi 22 kerusi dan PH-BN memenangi 34 kerusi. – MalaysiaGazette