Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dr. Sha'ari Ngadiman.

KUALA LUMPUR – Sebanyak tujuh kotak ubat produk langsing yang tidak berdaftar dirampas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) di beberapa buah premis sekitar negeri itu.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, kesemua produk langsing yang dirampas menerusi tindakan penguatkusaan dianggarkan bernilai RM8,000.

Menurut beliau, rampasan dilakukan susulan maklumat yang diterima daripada orang ramai menerusi aduan kepada Cawangan Penguatkuasaan Farmasi JKNS sejak awal bulan ini.

Jelasnya, produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM (PBKD KKM) yang dirampas itu mengandungi racun berjadual Liraglutide untuk rawatan pelangsingan badan.

“Modus operandi sindiket, memasarkan produk ini melalui media baharu seperti Tik-Tok yang mempromosi rawatan pelangsingan badan dengan cepat, berkesan dan tiada sebarang kesan sampingan.

“Ia dikhuatiri akan mengakibatkan kesan sampingan buruk dan membahayakan kesihatan orang ramai,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Sha’ari berkata, ubat Liraglutide hanya boleh dibekalkan oleh pengamal perubatan berdaftar di bawah Akta Racun 1952 dan ia perlu berdaftar di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai agar membuat semakan kesahihan produk kesihatan yang dijual telah didaftar dengan PBKD KKM.

Tambah beliau, orang ramai boleh membuat aduan dan memberikan maklumat kepada Program Perkhidmatan Farmasi melalui laman sesawang http://www.pharmacy.gov.my.

Katanya lagi, aduan juga boleh dibuat di Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan ATAU melalui talian 03-78413200. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast