Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Tilawah Dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Kali Ke-63 Tahun 1445H/2023M di Dewan Merdeka, World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 19 OGOS 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan untuk menyediakan peruntukan dan sokongan yang mencukupi bagi meningkatkan kefahaman mengenai Islam sebagai usaha menangani Islamophobia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu penting kerana Islamophobia telah terbukti mewujudkan penjajahan imperialism dan menyekat kemaraan Islam.

Malah beliau berkata, pemikir Palestin Edward Said menyatakan mereka yang menentang Islam itu jahil dan dangkal tentang agama tersebut.

“Tanggungjawab kita di negara dalam mengungkapkan idea Malaysia Madani mestilah cuba mengangkat martabat umat negara ke lebih baik.

“Kita mampu sekiranya kita bersatu, kita mampu sekiranya kita memberikan tekad usaha yang lebih untuk memahami al-Quran, baca dan berikan penjelasan, pencerahan tentang apa maksud Islam dalam negara pelbagai kaum, pelbagai agama.

“Saya mengulangi di negara ini bahawa Islam agama Persekutuan, akan terus mempertahankan akidah, akan terus menyebarkan Islam dan menyediakan peruntukan dan sokongan yang mencukupi untuk latihan kepada Islam yang tidak memahami dan melaksanakan program-program Islam dan pembaharuan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-63 Tahun 1445 H / 2023 M di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, di sini, malam ini.

MTHQA berlangsung selama enam hari bermula hari ini sehingga 24 Ogos depan melibatkan dua kategori iaitu pertandingan tilawah al-Quran dan pertandingan hafazan al-Quran.

Penganjuran MTHQA kali ini melibatkan seramai 76 peserta keseluruhannya dari 52 buah negara yang terdiri daripada 36 orang peserta tilawah dari 27 buah negara dan 40 orang peserta dari 30 buah negara.

Malaysia menghantar empat peserta, masing-masing dua peserta bagi kedua-dua kategori yang dipertandingkan.

Menurut Anwar, kerajaan akan tetap menyantuni dan memberi jaminan keselesaan hidup kepada semua warga.

Ujarnya, ini kerana semua perlu akui bahawa Malaysia sebagai satu negara pelbagai kaum.

“Negara ini akan melindungi hak setiap warganegara termasuk yang bukan Islam (sama ada penganut) kristian, hindu atau buddha di negara ini,” tambahnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast