Van jenazah yang akan membawa mangsa nahas pesawat penunggang ehailing, Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32 keluar dari Jabatan Forensik untuk dibawa ke Sidam, Sungai Petani Kedah untuk di kebumikan ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2023.

KLANG – Jenazah penunggang p-hailing yang terkorban dalam nahas pesawat ringan di Perumahan Elmina 8 Central Park, Seksyen U16, Shah Alam, Selangor akan dikebumikan di kampung halaman beliau di Kampung Jerung, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

Jenazah Allahyarham dituntut ayahnya, Muhammad Saleh Othman di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini, pada jam 9.42 pagi.

Muhammad Saleh berkata, jenazah anak sulungnya itu diuruskan oleh kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan solat jenazah didirikan di Masjid Ar-Rahimiah yang terletak di hadapan HTAR.

“Kemudian kita akan membawa jenazahnya untuk dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, Sungai Petani. Insha-Allah, jenazah akan dikebumikan hari ini.

Bapa kepada penunggang Foodpanda, Muhamad Saleh Othman, 57 serta ibunya Jamilah Ismail, 53 hadir bagi menuntut jenazah anaknya Muhamad Hafiz Muhamad Saleh, 32 untuk dibawa ke Sidam, Sungai Petani, Kedah bagi proses pengkebumian ketika di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Foto MOHD ADZLAN, 19 OGOS 2023.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak yang terlibat dalam pengurusan jenazah Allahyarham ini,” katanya ketika ditemui d ipekarangan Jabatan Forensik HTAR, di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan yang menyelia proses pengurusan dan penyerahan mayat mangsa pertama nahas pesawat itu berkata, mayat pertama yang dikenal pasti itu disahkan identiti oleh pakar patalogi hospitlk itu adalah Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32, seorang penunggang p-hailing.

Katanya, pihak polis akan mengaturkan perjalanan van jenazah ke kampung halaman Allahyarham di Sungai Petani tunruk dikebumikan, seperti mana kehendak keluarga mangsa.

“Seluruh petugas, PDRM dan petugas kesihatan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya.

Pada Khamis lalu, sebuah pesawat ringan, Beechcraft 390 Premier 1, yang membawa lapan penumpang termasuk dua kru terhempas di Perumahan Elmina 8 Central Park.

Dalam kejadian jam 2.48 petang itu semua yang berada dalam pesawat tersebut terkorban manakala dua orang awam iaitu seorang penunggang motosikal dan pemandu e-hailing meninggal dunia. – MalaysiaGazette