GOMBAK – Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay mengesahkan 14 daripada 15 pegawai dan anggota polis yang ditahan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman positif dadah.
Ayob Khan berkata, kesemua mereka ditahan dalam serbuan di pusat hiburan sekitar Seremban, Negeri Sembilan pagi semalam.
Turut ditahan adalah adalah seorang timbalan pendakwa raya (TPR) dan pendaftar mahkamah yang kedua-duannya juga positif dada.
“Tindakan lanjut sudah diambil, yang pertama mereka ditahan kerja dan kita sedang siapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.
Kesemua pegawai dan anggota terbabit telah diberi jaminan polis sementara menunggu kertas siasatan dilengkapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah selepas memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pelangai itu maut dalam nahas pesawat Beechcraft 390 di Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
“Mereka (suspek) diberi jaminan polis, itu proses biasa. Jangan tanya pula kenapa dibebaskan, itu proses biasa mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Walaupun saringan awal positif, kita akan hantar sampel kepada patologi yang mungkin akan ambil masa sebulan,” katanya.
Ayob berkata, jika disabit kesalahan pegawai dan anggota polis terbabit boleh digantung kerja sementara rayuan dibuat di mahkamah.
Ayob menegaskan tindakan terhadap anggota terbabit bukan hanya selepas serbuan itu ditularkan di media sosial.
Polis menurut beliau tidak akan bertolak ansur kepada mana-mana anggota yang ditangkap dalam operasi pusat hiburan.
“Boleh tengok rekod tahun ini sahaja, seramai 741 tindakan tatatertib diambil dan lebih kurang 60 (pegawai dan anggota) sudah dibuang kerja setakat Julai,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang pegawai kanan dan 14 anggota polis ditahan bersama dua timbalan pendakwa raya ketika disyaki sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dato Sheikh Ahmad di Seremban.- MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
2 timbalan pendakwa raya, 14 anggota polis ditahan di pusat hiburan positif dadah