BENTONG – Kerajaan Pahang akan membantu keluarga balu kepada arwah Idris Abdol Talib @ Ramali, 41,- salah seorang mangsa nahas pesawat terhempas di Shah Alam baru-baru ini.
Ia sebagai usaha dan mengenang bakti arwah kepada kebajikan negeri ini, kata Exco Kebajikan Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal.
Menurutnya, perkara tersebut akan dicadangkan dan dibincangkan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
“Saya akan mencadangkan kepada MB untuk memberi penghargaan dengan mengambil berat kebajikan keluarga khusunya isteri dan anak-anak beliau sebab kita boleh dengar macam-macam kebaikan beliau
“Jadi apalah salahnya kalau arwah keluarga ini diberi perhatian dan dijaga kebajikannya,” katanya ketika ditemui di Bentong hari ini.
Tinjauan MalaysiaGazette melihat hampir 1,000 orang hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham Idris di Majlis Pengebumian di Tanah perkuburan Islam Barak, Benus dekat Bentong pada petang tadi.
Sebelum itu Fadzli dilihat menanti jenazah sahabatnya yang dikenali sebagai Ustas Deris itu di perkarangan Masjid Tengku Sulaiman Keratong dekat sini dan menunaikan solat jenazah bersama lebih 1,000 jemaah lain.
Suasana pilu ketika melihat ADUN Dong itu di perkarangan kubur yang sebak ketika mengambus tanah kubur arwah sebagai tanda persahabatan mereka sehingga akhir hayat.
Bagi Fadzli, persahabatan dengan insan yang penuh keprihatinan itu pastinya dirindui.
”Apa yang dilakukan hari ini tak cukup sebab saya akan merindui, saya tak puas. Tidak ramai yang tahu arwah Ustaz Deris sahabat baik saya.
“Dia boleh tegur saya walaupun saya Exco sebab kita kawan rapat, saya rindu teguran yang membina yang orang tegur ikhlas. Dia akan cakap apa yang sepatutnya saya dengar dan ambil berat sebagai pemimpin.
”Dalam politik ini banyak orang yang cakap bagus je, teguran yang membina. Saya ibarat pemimpin yang baru perlukan teguran macam ini, kadang orang nak jaga hati kita tapi Deris, arwah ini lain,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan sumbangan peribadi kepada waris-waris mangsa nahas pesawat.
Allahyarham adalah salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Elmina Central Park, Seksyen U16, dekat Shah Alam.
Allahyarham meninggalkan seorang balu, Adlina Aishah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 56 hari, 10 tahun serta 14 tahun.
Dilahirkan pada 29 November 1982, allahyarham dikenali Ustaz Deris adalah pegawai Kerajaan Negeri Pahang yang berkhidmat di Pejabat Agama Islam Daerah Raub sebagai pegawai penguat kuasa.
Allahyarham bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun. – MalaysiaGazette