Senario 1.
PENULIS dan tiga orang anak yang memang telah layak mengundi bergerak ke pusat pengundian di sebuah sekolah di Putra Nilai, Negeri Sembilan bagi tujuan mengundi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N10 Nilai. Hujan mencurah lebat pagi itu dan kami diseliputi dingin pagi.
Calon Pakatan Harapan (PH) berdepan Perikatan Nasional (PN) dan dua calon Bebas. Yang nyata persaingan ini lebih tertumpu antara penyandang kerusi PH, Arul Kumar Jambunathan yang ditentang calon PN, Gan Che Biow. Dua lagi calon Bebas sekadar memenuhi slot ruang demokrasi dan tiada impak kepada pengundi.
Penulis yang mengundi di Saluran 1 pagi itu benar-benar terkedu dalam dingin pagi. Hanya penulis seorang yang terus masuk dan memangkah kertas undi tanpa perlu beratur panjang.
Cuma di saluran 6 dan 7 – saluran generasi muda padat dan beratur panjang. Bila berita tersebar sehingga jam 12 tengah hari, peratus yang keluar mengundi di seluruh enam negeri yang terbabit dalam pilihanraya masih di bawah paras 40 peratus.
Ini seolah isyarat malapetaka demokrasi dan berlanjutan sehingga semua pusat pengundian ditutup pada jam 6 petang, peratusan keluar mengundi masih dihitung rendah di bawah paras 80 peratus.
Penulis berasa di pusat pengundian N10 tersebut sekali gus mewakili fenomena serupa di tempat lain, peratus keluar mengundi rendah, tiada kerancakan perayu undi, suasana lengang di pusat pengundian, hujan yang mencurah menjadi saksi menyekat pergerakan pengundi ke pusat pengundian.
Meskipun demokrasi terus hidup, kempen rancak sebelum hari pengundian, termasuk di media sosial, poster dan bendera parti berkibaran, manifesto diedarkan, calon dan petugas parti giat berkempen meraih undi secara senyap dan terbuka – hasilnya peratus rakyat keluar mengundi setakat lulus sederhana.
Benarkah rakyat telah jemu dan letih dengan gema politik 24/7 atau ada elemen sabotaj terutama penyokong parti dan pengundi atas pagar yang tidak mahu keluar mengundi melihat kepada senario politik tanah air semasa yang terus berkecamuk?
Senario 2
Bila keputusan diumumkan, jelas negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu menunjukkan PH tumbang. PN diterajui Pas meraih kemenangan besar, manakala Bersatu sekadar penumpang. Pas meraih sejumlah kerusi signifikan di Selangor, Pulau Pinang dan menang juga kerusi di Negeri Sembilan. Penganalisis menyimpulkan gelombang hijau PRU15 berjangkit kepada PRN di enam negeri.
PH kekal di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan, kecuali Negeri Sembilan meraih mandat dua pertiga, prestasi PH di Selangor dan Pulau Pinang merosot. Di kawasan majoriti Melayu, Pas meraih simpati dan undi serta menang besar.
Di kawasan majoriti bukan Melayu, kerusi bandar dan pinggir bandar, DAP meraih keuntungan. Apakah ini lakaran senario untuk masa depan politik Melaysia? Pas lawan DAP? Apakah ini isyarat baik dan sejahtera untuk sebuah masa depan negara dan bangsa?
Faktor agama dan bangsa terus mendominasi pentas siasah negara. Jika berbual-bual dengan generasi lama kebanyakannya warga emas, mereka jelas menaruh kebimbangan terhadap DAP, sebuah parti yang didominasi kaum Cina sejak sekian lama.
Persahabatan politik UMNO bersama DAP dalam koalisi PH, sebuah parti siasah ulung dominasi orang Melayu tidak digemari akar umbi orang Melayu, ibarat meludah ke langit terpercik ke wajah sendiri kerana dahulu UMNO lantang mengkritik DAP sebagai sebuah parti cauvinis Cina dan ancaman terhadap ketuanan bangsa Melayu.
Kini UMNO-DAP bersahabat pula? Mana pendirian dan wajah sebenar UMNO? Demikian kesimpulan penerimaan orang Melayu terhadap UMNO dan penolakan orang Melayu terhadap DAP.
Kesannya, prestasi UMNO kian merosot. Jumlah kerusi UMNO di Parlimen dan Dewang Undangan Negeri (DUN) terus menyusut, UMNO kini bukan lagi parti siasah dominan di negeri-negeri majoriti Melayu.
Ibarat menunggu senja berlabuh, mentari padam dan malam gelap pekat menanti – UMNO seolah tunggu masa bungkus seperti kata salah seorang pemuka UMNO sendiri.
Yang tersisih seperti Annuar Musa, Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, Noh Omar dan Shahidan Kassim bersuara lantang mengkritik kepimpinan UMNO, manakala yang masih setia seperti Ismail Sabri Yaakob dan Hishamuddin Tun Hussein mengambil sikap berdiam sepi dan sesekali bersuara seadanya sahaja!
Senario 3
Parti Keadilan Rakyat (PKR), sebuah parti lantang memperjuangkan agenda reformasi, menegakkan keadilan sosial, menolak rasuah dan sekali gus mendukung tatakelola baik kini berdepan situasi politik berbeza yang menentukan masa depan politiknya.
Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan sebagai Perdana Menteri bekerja keras, bergerak pantas dan tangkas ke sana ke sini.
Malah bukan sedikit pakej pengumuman untuk membantu rakyat yang telah diumumkan dari semasa ke semasa seperti untuk membantu golongan petani, peneroka Felda, pekebun kecil getah, peniaga kecil, malah penjawat awam, pesara tentera dan kelompok sasaran yang lain – terbukti PKR tidak mendapat pulangan dividen setimpal berdasarkan kepada keputusan PRN di enam negeri tersebut.
Selangor sebagai kubu kuat PKR juga gagal meraih majoriti dua pertiga. Lain halnya di Terengganu, Kelantan dan Kedah – Pas menang bergaya membentuk kerajaan negeri dengan mandat dua pertiga.
Gagasan Malaysia Madani, Ekonomi Madani, tatakelola baik, perangi rasuah, menoktahkan kemiskinan dan ikhtiar menarik pelaburan asing, tidak memadai untuk PKR dan PN-BN menang besar dan selesa dalam pilihanraya kali ini.
Nyata pengundi Melayu termasuk pengundi baharu, Undi 18 tidak memihak kepada gabungan PH-BH.
Naratif DAP sebagai parti berbahaya, parti cauvinis, ancaman terhadap Melayu dan Islam tertanam kukuh diminda orang Melayu. Bukan itu sahaja, dikatakan penjawat awam, polis, tentera pun tidak menyebelahi Kerajaan Perpaduan? Benarkah demikian?
Sepanjang kempen, Rafizi Ramli seringkali mengeluarkan statistik betapa PH-BH mendahului dan berpeluang menerobos Kedah, Terengganu dan Kelantan, namun ternyata sejak PRU15 lagi, segala dapatan kuantitatif beliau dan pasukannya tidak boleh dipegang mutlak. Tersasar dan PKR cicir, hilang banyak kerusi.
Yang dominan DAP – tanpa pun bising dengan data dan statistik menang besar di peringkat Parlimen dan DUN. Lalu, apakah dengan mudah mahu menolak dan menafikan DAP dalam arena demokrasi?
Quo Vadis Malaysia?
Malaysia sebuah negara yang kaya hasil mahsul, negara berbilang kaum, jamak budaya, jamak agama dengan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Melayu kekal sebagai bangsa teras paling dominan, tetapi bukan Melayu juga sudah sebati sebagai warganegara sejak sekian lama. Semua parti yang bertanding dalam pilihanraya termasuk parti bebas adalah dihalalkan dalam sistem demokrasi.
Pertama, seperti kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim, keputusan pilihanraya itu harus diterima dan dihormati. Wajar sekali pasca pilihanraya semua pihak bertenang. Semua pihak melakukan muhasabah – retrospeksi dan refleksi. Bergerak terus ke depan kerana masa bergerak pantas. Seminggu kini dirasakan sehari sahaja.
Kedua, segala-galanya bukan politik, manakala politik juga bukan segala-galanya. Amat tidak munasabah pasca pilihanraya selesai, nada bercakap masih dalam ‘mood’ berkempen.
Kini masa bekerja mengotakan segala kata. Masa melunaskan tanggungjawab dan amanah yang dijanjikan. Jika masih kedengaran mahu menukar kerajaan, menjatuhkan pemimpin dan bertelagah 24/7, bila masanya fokus untuk bekerja dan melaksanakan segala perkara yang dirancang?
Ketiga, geopolitik antarabangsa dan landskap politik nasional memang deras berubah. Menang-kalah dalam persaingan politik lumrah. Itu hukum demokrasi. Demokrasi bukan pilihan sistem paling sempurna. Tetapi, kita bertamasuh berlapang dada menerima sistem demokrasi ala Westminster sebagai pilihan alternatif yang disesuaikan dengan kearifan lokal.
Yang menang majoriti membentuk kerajaan, manakala yang menang minoriti duduk sebagai pembangkang, peranan mereka tidak kurang penting sebagai ‘semak dan imbang.’
Ketika berdepan ketidaktentuan dunia global, ekonomi yang terumbang-ambing, pembenturan US-China, Perang Russia-Ukraine, isu pemanasan global, peningkatan paras inflasi dan kenaikan harga barang – semuanya ini memberi impak kepada kehidupan rakyat.
Jika krisis ekonomi dibiarkan berlarutan, maka kesenjangan kaya-miskin makin melebar, yang kaya tetap kaya, yang miskin kekal merana.
Maka, kepimpinan politik yang membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri harus bergerak sederap, seiring dan meredakan kehangatan suhu politik.
Fokus harus bertumpu terhadap pemulihan ekonomi, membina kestabilan politik, membina kesatuan dalam kepelbagaian, meredakan kegelisahan akibat pembenturan agama dan kaum lalu hidup sebagai sebuah bangsa yang mengutamakan keperibadian nasional – bersatu padu, bertolak ansur, bekerjasama, bermuafakat dan mendatangkan idea-idea segar untuk membina sebuah masyarakat dan negara Madani.
Jika kita memilih untuk terus bergeser, berpolitik tanpa noktah, berbalah tanpa penyudah, berkelahi tanpa henti, berkecamuk sampai remuk, maka pilihan kita mengundang sebuah kehancuran.
Elok sangat menjelang 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-66 tahun bertemakan “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan”, semua pihak memulakan satu muafakat nasional atau ‘national reconciliation’ untuk menyuntik satu gagasan nasional baharu sekali gus memberi semangat kepada rakyat untuk hidup dalam suasana penuh harmoni, sejahtera, makmur dan bebas prasangka menyosong hari muka penuh bercahaya!
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan boleh memulakannya dengan penuh keyakinan dan percaya diri. Rakyat mesti menyambut dengan penuh berani!
Penulis Mohd Shah Abdullah adalah bekas wartawan dan pensyarah komunikasi kini aktivis sosial.