Bergambar kenangan sempena dengan program Seminar Peradaban Dunia Melayu Dunia Islam 2023, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Menerusi perspektif akademia, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengangkat martabat Dunia Melayu Dunia Islam dengan bersama menganjurkan Seminar Peradaban Dunia Melayu Dunia Islam 2023 baru-baru ini.

Seminar yang berlangsung selama dua hari itu diadakan di Dewan Kuliah, Fakulti Kejuruteraan Pembuatan (FKP), Kampus Induk UTeM ini mengangkat tema “Melaka Sebagai Pusat Peradaban Dunia Melayu Dunia Islam”.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, UTeM turut sama menjayakan program ini menerusi perspektif akademia selari dengan peranannya sebagai institusi pengajian tinggi awam di Melaka.

“Menerusi program ini kita mampu meningkatkan pemahaman tentang sejarah dan peranan Melayu dan islam serta mempromosikan kekayaan dan pentingnya warisan budaya Melayu dan Islam di seluruh dunia.

“Ianya menjadi medan menghadirkan para ahli sejarah dan budaya, akademik, aktivis sosial untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman mereka berkaitan topik yang dibahas.

“Pada masa yang sama mendorong interaksi dan kolaborasi antara para peserta seminar dari seluruh negara dan pelbagai latar belakang budaya,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Penganjur utama program adalah Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bersama UTeM, Akademi Perantara / SiGMA, Yayasan DMDI, Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negeri Melaka (JKKN) dan World Youth Foundation.

Seminar diserikan dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka merangkap Canselor UTeM dan Presiden DMDI, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam yang turut sama menyempurnakan gimik perasmian.

Antara pengisian utama program terdiri daripada dua sesi ucaptama iaitu Gagasan Mewarisi Peradaban Melayu dan Membudayakan Penulisan Bahasa Melayu Dalam Bidang Sains dan Teknologi.

Seterusnya beberapa forum dijayakan dengan kupasan tajuk seperti Keagungan Kesultanan Melayu Melaka, Hubungan Melaka, Aceh dan Kesultanan Osmaniyah, Pulau Besar: Pemangkin Syiar Islam Alam Melayu.

Hang Tuah: Ikon Cinta Watan, Melaka – Pusat Cerakin Budaya Warisan Dunia (Melaka – World Heritage Cultural Melting Pot serta Pemerkasaan Budaya Negara Melalui DAKEN: Cabaran dan Peluang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast