Pelakon, Hairul Azreen hadir bersama isterinya, Hanis Zalikha dan anaknya, Yusuf Iskandar.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Hairul Azreen mengumumkan bersara dari dunia seni selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam bidang itu.

Beliau membuat pengumuman mengejut itu ketika menjadi artis jemputan dalam segmen 3 Pagi Era.

“Saya Hairul Azreen, saya nak mengumumkan yang saya behenti berlakon for good,” katanya.

Hairul Azreen membuat pengumuman mengejut ketika menjadi artis jemputan dalam segmen 3 Pagi Era.

Ini bermakna, filem Malbatt: Misi Bakara yang bakal diayangkan pada 24 Ogos ini merupakan kemunculan terakhirnya dalam dunia layar perak.

Katanya, keputusan tersebut adalah muktamad selepas mempertimbangkannya dalam beberapa tempoh.

“Allah sudah bagi saya macam-macam melainkan saya menjadi manusia yang tak bersyukur. Saya dah buat belakang tabir, jadi stunt man, pelakon extra, investor filem, pengarah, produser semua benda saya sudah lalui.

“Perjuangan saya biarlah saya akhir dengan filem yang membanggakan saya iaitu Malbatt,” katanya.

Selain mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan anak-anak yang sedang membesar Hairul akan tetap aktif dalam menerusi media sosial.

“Saya akan aktif di media sosial cuma berlakon tidak lagi kerana saya tidak mahu sia-siakan bersama ibu bapa dan anak-anak.

“Bila saya berlakon saya akan fokus dengan satu watak, buat badan selama enam bulan sehinggakan tak sedar anak-anak membesar tanpa saya sedari,” katanya yang akan menumpukan perniagaan bersama isterinya, Hanis Zalikha. selepas ini.-MalaysiaGazette