KUALA LUMPUR – Ratu Rock, Ella diiktiraf Singapore Book of Records (SBOR) sebagai penghibur Malaysia yang mencatat jualan tiket tertinggi bagi tempoh dua jam melalui Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di republik itu, selama dua malam, mulai Khamis lalu.
Pada konsert itu, Ella menarik lebih 10,000 penonton dari Singapura, Malaysia, Indonesia dan Brunei menyaksikan beliau beraksi di republik itu.
Ella atau nama sebenar, Nor Zila Aminuddin, 57, merakamkan penghargaan kepada peminat termasuk penganjur konsert, LOL Asia atas kejayaan itu.
“Terima kasih kepada peminat dan penganjur kerana sentiasa percaya dan sokong saya.
“Konsert ini meninggalkan kenangan dan menjadi sebahagian daripada persembahan saya yang paling ikonik,” katanya menerusi kenyataan dikeluarkan LOL Asia.
Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Singapura menyaksikan penyanyi kelahiran Gelugor, Pulau Pinang itu menyampaikan seleksi lagu hit seperti Sembilu, Pengemis Cinta, Sepi Sekuntum Mawar Merah, Rindu, Pedih dan banyak lagi.
Turut menghiburkan peminat pada konsert itu adalah Datuk Amy Search dan Kaka Azraff. Konsert itu dikemudi pengarah muzik, Datuk Acis.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), LOL Asia, Rizal Kamal berkata, kejayaan itu membuktikan Ella berada dalam kelas tersendiri sebagai penyanyi rock.
“Kami bangga dapat menjayakan konsertnya di Singapura. Semua lagu Ella malar segar. Tenaga yang diberi penonton sangat luar biasa. Dua malam yang sangat menakjubkan,” katanya.
Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Kuala Lumpur menerima pengiktirafan ‘Most Concert Tickets Sold Out: 10,000 Tickets in 24 Hours’ oleh Malaysia Book of Records (MBOR), Jun lalu.
Ella akan meneruskan jelajah tiga Konsert Jilid Akhir: Ella Puteri Kota di Spice Arena, Bayan Lepas, Pulau Pinang ada 28 Oktober depan. – MalaysiaGazette