Keadaan longkang yang kotor kerana tidak diselenggara.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 kompaun dikeluarkan terhadap pengusaha premis makanan di Jalan 14/155C, Bukit Jalil di sini dalam Operasi Penguatkuasaan Berkenaan Masalah Longkang, Kebersihan dan Nyamuk hari ini.

Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Daripada 15 kompaun yang dikeluarkan, enam daripadanya adalah di bawah Seksyen 47(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu membuang, menempat, menumpah atau menaburkan apa-apa darah, air masin, buangan cecair, cecair kotor atau benda lain yang mengganggu atau kotor dari sesuatu jenis dengan sesuatu cara supaya ia melurut atau masuk ke dalam sesuatu tempat awam.

Manakala sembilan lagi kompaun telah dikeluarkan di bawah Seksyen 46(1)(d) Akta Jalan Parit dan Bangunan iaitu meletakkan atau menyebabkan diletak apa-apa barang atau benda yang digunakan untuk atau berhubungan dengan trednya di mana-mana tempat awam.

Suasana persekitaran dapur premis makanan yang diperiksa oleh DBKL.

Tindakan itu dibuat selepas pengusaha premis makanan itu didapati menyalurkan air kotoran / cecair kotoran di atas jalan awam yang menyebabkan kerosakan pada permukaan jalan, membuang putung rokok, sampah di atas siar kaki hadapan premis dan meletak barang perniagaan di atas siar kaki awam, menyebabkan halangan kepada kerja-kerja pembersihan.

Mereka juga didapati tidak memasukkan sampah ke dalam tong sampah yang disediakan, kawasan sekitar premis kotor dan tidak terurus dan tidak menyelenggara alat cerobong penyedut asap.

DBKL berkata, pihaknya akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak-kehendak kesihatan dan warga kota terhindar daripada penyakit bawaan air dan makanan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast