GEORGE TOWN – “Islam adalah satu misi suci bersumberkan wahyu Ilahi manakala parti Islam hanyalah ciptaan manusia sebagai sebuah wadah untuk memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajarannya menerusi pentadbiran negara,” kata Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Kata beliau, seorang Muslim tidak berdosa mahupun menjadi kafir sekiranya tidak menyokong parti Islam atau mengundi parti lain.
Jelas beliau, ia susulan parti Islam adalah rekayasa manusia dan tidak bersifat suci atau sakral maka ia tidak mengikat seorang Muslim sebaliknya hanya sikap taksub yang mendorong seseorang untuk menyamakan rekayasa manusia dengan ciptaan Ilahi.
“Semua perlu tahu beza antara Islam dan parti Islam, ini kerana Islam adalah satu misi suci bersumberkan wahyu Ilahi dan setiap Muslim wajib terikat dengan agamanya (Islam) di sudut akidah (kepercayaan) mahupun amalan dengan mematuhi segala hukum yang ditetapkan di dalam al-Quran dan Sunnah Nabawiyyah.
“Manakala parti Islam pula hanyalah ciptaan manusia sebagai sebuah wadah untuk memperjuangkan Islam atau melaksanakan segala ajarannya menerusi pentadbiran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang didakwa melabel dua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) di negeri itu sebagai melawan perjuangan Islam.
Mengulas lanjut Wan Salim berkata, islam tidak akan tertegak dengan slogan semata-mata, tetapi ia ditegakkan dengan amalan di dalam kehidupan rakyat yang sejahtera dan berkebajikan di samping pentadbiran negara yang baik, bersih dan cekap.
Kata beliau, sebaliknya Islam boleh ditegakkan secara bijaksana tanpa mencanangkannya kepada umum seperti melaksanakan keadilan sosial, meratakan kebajikan, membasmi kemiskinan, membanteras rasuah dan maksiat dan seterusnya.
“Mana-mana individu atau kumpulan boleh mendakwa memperjuangkan Islam, tetapi dakwaan ini mestilah dibuktikan dengan jelas dalam realiti kehidupan.
“Penting adalah segala ajaran Islam dihayati di dalam urus tadbir negara dan kehidupan warganya dengan baik dalam sebuah negara majmuk seperti Malaysia yang mana mencanangkan perjuangan untuk menegakkan Islam mungkin kurang bijaksana.
“Malah penting bagi umat Islam untuk mempraktikkan ajaran-ajaran Islam di dalam diri masing-masing maka secara automatiknya Islam akan tertegak dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette