PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang menyiasat tiga beranak yang dijangkiti batuk kokol atau wabak pertussis di Kampung Bahagia, Rompin, Pahang, baru-baru ini.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafar berkata, penemuan awal KKM mendapati jangkitan wabak itu dipercayai dibawa daripada ibu kanak-kanak tersebut.
“Sebenarnya yang itu kita tengah siasat punca daripada keluarga yang mendapat sakit batuk kokol.
“Penemuan awal kemungkinan ia bermula daripada ibunya, itu pun kita kena lakukan siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KKM, di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengesahkan satu kes jangkitan pertussis dikesan di Kampung Bahagia, Rompin.
Pengarahnya, Datuk Dr. Nor Azimi Yunus dalam kenyataan berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Rompin melaporkan kes berkenaan melibatkan satu keluarga iaitu seorang ibu serta dua anaknya.
Dalam pada itu, Dr Zaliha memberi jaminan kes batuk kokol di Rompin terkawal dan ketiga-tiga anak beranak itu berada keadaan stabil.
“Kes yang ada di Rompin itu hanya tiga kes dan dia dalam kawalan, Insya-Allah.
“Pesakit ini sudah discaj hospital dan keadaan pesakit stabil,” katanya lagi. – MalaysiaGazette