PONTIAN – Sebuah kedai makan di Jalan Parit Mesjid, dekat sini hangus terbakar awal pagi tadi.
Menurut Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Mahadir Mamat, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.49 pagi tadi selepas pemiliknya terlupa memadamkan api ketika memasak air gula di atas dapur.
Menurutnya, sewaktu bomba tiba, api sedang marak dan separuh kedai sudah terbakar.
“Nasib baik dua-dua balai bomba berhampiran rumah kedai tersebut yang terletak bersebelahan kedai menjual kereta dan sebuah rumah dua tingkat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mahadir, kebakaran merebak cepat kerana struktur binaan kedai tersebut merupakan bangunan sementara dan separuh kekal.
“Ketika kejadian tiada penghuni di dalamnya kerana mereka telah balik ke rumah masing-masing selepas menutup perniagaan kira-kira pukul 12 malam,” ujarnya.
Menurut Mahadir, operasi memadamkan kebakaran sepenuhnya berakhir pada pukul 6.25 pagi.
Punca kejadian sedang dalam siasatan dan sepasukan anggota forensik kebakaran akan tiba pada pagi ini bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.- MalaysiaGazette